Hentikan Ungkit Mengungkit, Fokus Isu Rakyat – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi berpandangan usah pertikaikan kesetiaan dan keikhlasan UMNO dalam kerajaan hari ini dan pada masa yang sama tidak perlu mengungkit soal siapa patut menghargai siapa.
Tegas beliau semua tahu, permuafakatan membentuk kerajaan hari ini lahir daripada pengorbanan dan tolak ansur semua pihak.
“PPBM berkorban meninggalkan Pakatan Harapan yang telah mengkhianati amanah rakyat dan merosakkan struktur asas negara.
“UMNO dan BN juga berkorban menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai
Perdana Menteri (PM), walaupun UMNO dan BN mewakili blok terbesar dengan 43 Ahli Parlimen berbanding PPBM yang hanya 21 (7 asal PPBM + 14 asal UMNO),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Apa yang penting tegas Asyraf lagi jangan celupar meremehkan maruah mana-mana parti dalam gabungan dengan ungkapan biadap.
Malah tambahnya sebagaimana saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hentikanlah polemik pertikaian soal kerusi dan fokus hari ini untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat yang sedang bergelut soal kelangsungan hidup pasca PKPP COVID -19 diutamakan.- UMNO Online