Pengertian, Penghuraian Hijrah Sangat Besar… Bukan Sekadar Mekanisme Bela Diri

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkataan hijrah mempunyai pengertian serta penghuraian yang sangat besar.

Katanya, ia bukan sekadar mekanisme membela diri.

“Apabila perkataan hijrah digunakan saya kira tak perlu mohon maaf. Hanya penghuraian.

“Apakah hijrah saudara sama seperti hijrah Rasulullah? Mekah ke Madinah hanya tempat. Namun pengertian yang lebih mendalam ialah meninggalkan dunia jahiliyah menuju kebenaran. Apakah di sana ada kebenaran sejati atau hanya kuasa yang menanti?

“Atau apa yang dihuraikan oleh Ali Shariati tentang pengorbanan Siti Hajr dalam intipati fardhu Haji yang mulia? Siti Hajr hanyalah seorang wanita, hamba, kulit hitam, isteri kedua kepada Nabi Ibrahim. Namun padanya ada keistimewaan sehinggakan Raja yang berkuasa dan hartawan yang kaya-raya wajib mencontohinya. Apakah di sana juga sedang menghayati semangat ini? Soalnya lagi dalam satu hantaran di Facebook.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam sebuah forum terbuka berkata UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta berkata mereka yang keluar dan menyertai parti lain tidak dipanggil sebagai lompat parti tetapi berhijrah.

Setelah mendapat kritikan dari pelbagai pihak, Abd Latiff Ahmad memohon maaf atas kekhilafan beliau berhubung kenyataan video yang tular di media sosial itu dan berkata kenyataannya disalah tafsirkan.

Untuk rekod, Abd Latiff adalah antara Ahli Parlimen dari UMNO yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) namun menyertai PPBM selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu.

Seterusnya, Shabery turut membuat perbandingan berhubung isu yang berkaitan.

“Atau apa yang ditulis oleh Malcom X mengenai pengalamannya di Mekah mengubah pendiriannya terhadap perjuangan warna kulit Black Muslim Amerika kepada penghayatan Islam sebenarnya.

“Malcom X bercakap beliau lebih rela mati dari mengkhianati perjuangan asalnya, tetapi mengubah pendirian kerana di sana ada ketulusan dan keikhlasan sebenar mengenai hubungan persaudaraan sesama manusia.

“Apakah ini juga pengalaman saudara ketika bersama mereka di sana? Tanyanya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.