Individu Bersikap Patriotik Diambil Tindakan? Saifudin Jangan Terbawa-bawa Sikap Zaman PH – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hairan melihat sikap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang bersungguh-sungguh mahu mengambil tindakan terhadap pengacara Bernama TV Herleena Pahlavy.

Ini kerana katanya, hanya disebabkan Herleena menggelarkan agensi berita antarabangsa Al Jazeera sebagai ‘Al Jahiliyyah’, atas dokumentari palsu dan memburukkan imej negara dalam isu menangani wabak pandemik COVID-19 di kalangan pendatang tanpa izin.

“Sepatutnya Harleena dinobatkan sebagai wirawati negara yang patriotik kerana berani mempertahankan maruah negara tatkala dihina dan diperkotak-katikkan oleh stesen TV Antarabangsa Al Jazeera tersebut,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dilaporkan, Saifuddin berkata beliau telah dimaklumkan tindakan telah dikenakan ke atas hos program Malaysia Petang Ini tersebut.

Untuk rekod, Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Bidas Dr Asyraf lagi, sebagai pendukung kerajaan sekarang, seharusnya Ahli Parlimen Indera Mahkota itu tidak lagi bersikap sama seperti ketika berada dalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saifuddin tidak seharusnya terbawa-bawa dengan sikap beliau ketika menjadi Menteri Luar zaman PH dahulu yang menjadi antara pihak yang bersungguh-sungguh mahu mengusahakan ratifikasi ICERD dan Statut Rom sehingga membelakangi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan negara,” katanya.

Berhubung dengan status Facebook Dr Asyraf mengenai tindakan Saifuddin itu juga, sehingga berita ini ditulis lebih dua ribu komen dari pelayar maya mengkritik tindakan Saifuddin itu. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.