Tuduhan Tidak Berasas, Saya Tidak Bersalah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Setiusaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa tidak bersalah dan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu adalah tidak berasas.

“Peguam saya berhujah bahawa dua tuduhan terhadap saya adalah tidak berasas (groundless charges) berdasarkan banyak sebab. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya sesungguhnya tidak bersalah

Terdahulu, peguam yang mewakilinya, Ahmad Hamidi Mohd Noh berhujah bahawa tuduhan terhadap anak guamnya adalah cacat dan tidak berasas kerana ia tidak secara jelas menyebut kesalahan itu.

Ahmad Hamidi juga memohon supaya pertuduhan berkenaan digugurkan dengan mendakwa tuduhan adalah tidak berasas kerana anak guamnya tidak pernah menerima cek RM2 juta daripada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang didakwa oleh pasukan pendakwaan.

“Jelas sekali pertuduhan itu tidak berasas dan tidak menyebut kesalahan, malah kesalahan (seperti yang dinyatakan dalam kertas pertuduhan) mengelirukan dan berdasarkan itu, kami memfailkan permohonan ini,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Azman Ahmad menetapkan 24 Julai untuk keputusan.

Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pada 21 Januari lalu, Ahmad mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerima cek RM2 juta dan gagal mengisytiharkan jumlah itu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, didakwa melanggar Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ia membabitkan pertuduhan di bawah Akta Anti Pencucian Wang, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Aktiviti Tidak Sah (AMLA) 2001.

Dalam pertuduhan kedua, beliau dituduh memberikan kenyataan palsu kepada pegawai SPRM dengan menyatakan bahawa beliau belum menerima cek bernilai RM2 juta daripada Najib. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.