Komitmen, Disiplin Jentera PRK DUN Chini Tahap Tertinggi… Bantu Cipta Kemenangan

PEKAN, 9 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib berkata semua Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian (KPB) seluruh Pahang telah menunjukkan komitmen dan disiplin begitu tinggi untuk memastikan kemenangan besar parti di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu lalu.

Katanya, sebagai pemimpin muda contoh, mereka bukan jenis sekadar berpeluk tubuh dan memberi arahan tapi benar-benar turun padang dan menzahirkan kepimpinan melalui teladan bersama dengan anak-anak buah mereka.

“Barisan KPB sendiri yang memacak bendera, menganjurkan wawancara, mengatur program anak muda, memimpin skuad sabil, menyelesaikan masalah dan merayu undi di saat-saat akhir kempen.

“Saya sebenarnya bertuah dapat berkhidmat dalam satu pasukan yang mantap dalam organisasi Pemuda UMNO Pahang. Pengalaman dua tahun bekerja dengan sahabat-sahabat KPB membuktikan mereka ini sangat profesional dan berintegriti tinggi,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, sebagai seorang Ketua Pemuda Bahagian Pekan dan selaku tuan rumah PRK, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang khusus buat sahabat-sahabat KPB Pahang di bawah pimpinan Mohd Farid Mohd Nor.

“Kepada sahabat-sahabat KPB Pahang, jutaan terima kasih di atas segala pengorbanan dan komitmen yang diberikan untuk PRK 23 DUN Chini. Saya akan cuba namun tak mungkin dan tak termampu saya untuk membalas jasa-jasa kalian.

“Mohon maaf di atas segala kekurangan sebagai tuan rumah dan andai kata ada salah silap, terkasar bahasa,” ujarnya.

Begitu juga katanya, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajidi telah membuat pilihan yang tepat dan bijaksana apabila melantik kepimpinan negeri di kalangan mereka sendiri.

Seterusnya, Nizar juga mengucapkan syukur atas kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRK DUN Chini dengan majoriti sebanyak 12,650 undi yang merupakan luar jangkaan buat gagasan Muafakat Nasional (MN).

“Saya berani katakan secara keseluruhan jentera BN/MN telah bertindak dan bertugas dengan cemerlang. Baik jentera Bahagian Pekan, Negeri Pahang, Wanita, Pemuda, Puteri dan jentera sukarelawan segenap pelosok negara.

“Tambahan pula dengan sokongan utuh dari parti komponen dan sahabat baru dari Perikatan Nasional.

“Begitu juga dengan PAS, sahabat MN telah mengotakan janji mereka dengan menjejak pengundi PAS dan menyokong jentera BN secara total,” katanya lagi.

Nizar juga mengharapkan agar masa hadapan kepimpinan negeri cerah dengan bakat sahabat-sahabat KPB yang sedia ada dan sentiasa mendoakan agar mereka diberi peluang untuk buktikan kebolehan dan kewibawaan sebagai pemimpin di masa akan datang.

Pada Sabtu lalu, Calon BN, Mohd Sharim Md Zain memperolehi undi sebanyak 13,872 undi dan calon Bebas, Tengku Zainol Hisham yang menggunakan logo rumah mendapat 1,222 undi.

Manakala seorang lagi calon Bebas yang menggunakan lambang kunci, Mohd Shukri Mohd Ramli, hanya mampu meraih 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas tersebut hilang wang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.