Kenyataan Biadap, UMNO Sabah Tuntut Dr. Latiff Mohon Maaf Terbuka

KUALA LUMPUR, 9 Julai – UMNO Sabah menuntut Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad memohon maaf khas secara terbuka kepada ahli-ahli parti itu, susulan kenyataan biadapnya menyatakan UMNO tidak laku di Sabah.

Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Sabah, Ghazalie Ansing berkata walaupun Dr. Latiff menegaskan kenyataannya disalah tafsir, ini adalah satu pembohongan yang jelas dan nyata dari mata UMNO Sabah.

“Kenyataan yang di keluarkan oleh menteri ini merupakan kenyataan lisan dan bukan kenyataan bertulis yang boleh di salah tafsir.

“Sedarkah Dr. Latiff, bahawa jika UMNO Sabah tidak diterima rakyat, sudah pasti UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak akan memenangi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang lalu.

“Kalau Dr. Latiff belum hilang ingatan, pada ketika itu seluruh jentera Parti Bersatu telah berpadu bersama Parti Warisan ingin menumbangkan UMNO. Walau bagaimana pun UMNO menang PRK Parlimen Kimanis. Ini adalah bukti dan manifestasi rakyat Sabah yang masih kekal dan utuh bersama UMNO,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, Dr. Abdul Latiff sedarkah, semua calon PPBM yang bertanding di dalam PRK sebelum ini, semuanya kalah dan ini adalah bukti yang PPBM tidak diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

“UMNO Sabah juga tidak akan teragak-agak menutup pintu rundingan dengan PPBM Sabah, jika tiada permohonan maaf khas oleh Dr.A bdul Latiff kepada UMNO Sabah, walaupun baru-baru ini Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah mengatakan hasrat mereka untuk berunding bersama parti-parti dalam gagasan Perikatan Nasional (PN),” katanya lagi.

Terdahulu, Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen dari PPBM membuat kenyataan dalam sebuah forum terbuka dan video itu juga dikongsi di media sosial yang berkata UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai PPBM.

Abd Latiff adalah antara Ahli Parlimen dari UMNO yang menang atas tiket BN namun menyertai PPBM selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.