Tiada Serangan Peribadi… Jadikan PRK DUN Chini Contoh Terbaik – Fadzli

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang berakhir Sabtu lalu menterjemahkan beberapa iktibar khususnya soal kempen yang berlangsung dengan penuh harmoni dan beretika.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata paling menonjol adalah bentuk kempen yang mana boleh dipraktikkan selepas ini apabila dilihat tidak berlakunya serangan berbentuk peribadi mahupun tohmahan yang tidak masuk akal dalam usaha memburukkan antara satu dengan yang lain.

Jelas beliau tatacara kempen cukup matang melahirkan suhu suasana PRK yang aman dan akhirnya menterjemahkan satu keadaan yang selesa bukan sahaja kepada pengundi dan masyarakat itu sendiri malah kepada seluruh jentera parti yang berkempen di Pusat-Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Inilah yang pada saya perlu ditekankan dan diberi perhatian oleh pelbagai pihak. Jika diimbau dan diteliti tentunya pelbagai pihak menjangkakan akan berlaku penurunan yang cukup ketara dari sudut peratusan keluar mengundi kerana Barisan Nasional (BN) hanya sekadar berdepan calon Bebas.

“Namun jangkaan itu meleset apabila peratusan keluar mengundi boleh dikatakan cukup tinggi melebihi 70 peratus yang disasarkan oleh SPR dan inilah yang kita katakan PRK Chini boleh menjadi model kempen dalam mana-mana pilihan raya baik Pilihan Raya Umum (PRU) mahu pun PRK,” katanya kepada UMNO-Online.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain memperolehi undi sebanyak 13,872 undi dan Tengku Zainol Hisham yang menggunakan logo rumah mendapat 1,222 undi, manakala seorang lagi calon Bebas yang menggunakan lambang kunci, Mohd Shukri Mohd Ramli, hanya mampu meraih 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas tersebut hilang wang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Peratus keluar mengundi adalah sebanyak 74 peratus.

Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub seterusnya menambah itulah bentuk kempen yang sewajarnya dipraktikkan dan bukannya pengundi dimomokkan dengan bentuk kempen yang keluar daripada norma-norma sepatutnya.

Jelasnya kempen-kempen memburukkan pihak lawan dengan serangan peribadi dan sebagainya hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang akhirnya boleh menjurus kepada kekecohan dan itulah yang perlu dielakkan.

“Insya-Allah bagi kita Pemuda UMNO Pahang khususnya inilah yang kita tekankan. Kita terangkan kepada rakyat khususnya kepada pengundi apa yang sebenarnya dan kenapa mereka harus memilih parti yang memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat demi kestabilan bersama,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.