Menteri KPLB Sombong, Perlu Mohon Maaf Hina UMNO – Amin Shukor

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin Mohd Shukor membidas kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang disifatkan sombong dan menghina UMNO Sabah malah UMNO secara keseluruhannya.

Jelas beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Damansara, kenyataan tersebut juga secara jelas tidak menghargai UMNO sebagai rakan sepasukan dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya terpanggil memberikan pandangan kerana bagi saya semangat kekeluargaan UMNO ini tidak pernah sekali dibezakan. Sama ada UMNO di Selangor atau UMNO di Sabah mahupun UMNO di mana pelusuk sekalipun, jika ianya mengguris maruah dan martabat UMNO, maka perlu saya pertahankan.

“Lebih memedihkan adalah beliau berasal dari UMNO sebelum melompat kepada PPBM. Saya beranggapan jika inilah yang ditunjukkan oleh kepimpinan Menteri PN, maka ada sebab yang jelas bagi saya secara peribadi bahawa ‘Muafakat Nasional’ itu lebih sesuai dijadikan ‘vehicle’ untuk PRU-15 kerana telah dibuktikan lebih menghormati rakan sepasukan.

“Menteri KPLB ada banyak sebab lain untuk membahaskan topik berkaitan kepentingan dan kepedulian isu-isu rakyat tetapi kenapa bersungguh sangat dalam membahaskan rasa kebencian kepada UMNO Sabah?

“Saya sarankan pada kepimpinan tertinggi UMNO, tolonglah jangan dibenarkan budaya memijak maruah UMNO ini dibiarkan senyap tidak terbela,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin, walaupun kenyataan Menteri KPLB itu bukanlah suara yang menggambarkan PPBM secara kesuruhannya namun ia tidak boleh dipandang ringan.

“Matlamat tidak menghalalkan cara. Saya pasti bukan saya seorang tetapi ramai ahli UMNO yang terluka dan rasa terhina apatah lagi UMNO Sabah.

“Jesteru, menteri KPLB perlu memohon maaf kepada UMNO dan PPBM juga perlu melakukan sesuatu seperti memecat menteri ini daripada barisan kabinet. UMNO telah berbesar hati dalam mencapai kata sepakat dalam PN tapi ini tidak bermakna maruah UMNO boleh diinjak sesuka hati.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga… kerana mulut, badan binasa,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.