Jangan Rendahkan Kredibiliti UMNO Sabah, Kami Tetap Utuh Bersama, Tegas Puteri UMNO
KOTA KINABALU, 8 Julai – Kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff dilihat seakan merendahkan kredibiliti UMNO Sabah, tegas Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah.
“Apa sebenarnya tujuan kenyataan ini? Di manakah konsep Perikatan Nasional (PN) yang dilaungkan dan diperjuangkan selepas keruntuhan Pakatan Harapan (PH)?
“Ingin kami memberi sedikit ‘gentle reminder’ kepada menteri bahawa sentiasa beringat ‘jangan kerana pulut santan binasa’. Sedarkah bahawa biarpun tsunami politik di Sabah berlaku selepas Disember 2018, UMNO Sabah tidak mati dan terus bangkit.
“Dokongan UMNO Sabah jelas sekali bukanlah dari satu individu atau sekumpulan kecil sahaja. Kebangkitan ini lahir daripada suara rakyat dan jelas masih mendapat tempat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Januari lalu. Jentera dan ahli UMNO Sabah tetap utuh bersama,” kata kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan tersebut juga, Puteri UMNO Negeri Sabah melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Mersing yang melompat parti itu dengan mengatakan ‘UMNO Sabah tidak laku lagi’ yang menyinggung perasaan seluruh ahli parti secara langsung.
Jelas kenyataan itu lagi, keutuhan jentera dan ahli serta penyokong UMNO Sabah yang ada sama seperti yang telah berkempen, bekerja dan memenangkan Dr Latiff di Parlimen Mersing pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu atas tiket Barisan Nasional (BN).
“Survival mana-mana parti masih jauh, dan Puteri UMNO akan terus menjulang perjuangan rakyat Sabah secara khususnya dalam saf UMNO Sabah.
“UMNO Sabah akan terus relevan dan maju ke hadapan,” tegas kenyataan itu lagi. – UMNO ONLINE
Oleh: Zylan Moha