Hina UMNO Sabah: Menteri KPLB Melampau, Harus Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad terlalu melampau dan sombong serta menganggap UMNO sebagai parti sarkas yang tidak laku di Sabah.

Katanya, yang menjadi sarkas adalah pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang melompat parti dari UMNO ke PPBM.

“Mujur Dr. Latiff tidak dibaling dengan batu dan telor busuk walaupun mengata UMNO sebagai sarkas dan tidak laku di Sabah. Kalau tidak laku, macam mana Salleh Said Keruak mohon masuk balik UMNO?

“Sedarkah Latiff, di Mersing PPBM hanya ada lima cawangan. Lakukah itu? Nak tanya PM, nak simpan lagikah menteri macam ini. UMNO Mersing mesti bertegas ambil balik kerusi Mersing. Tengok siapa yang laku?” bidasnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris menjelaskan sewajarnya Dr Latiff harus dipecat kerana ia memecah-belahkan rakyat.

“Dia ni menang pun sebab UMNO di Parlimen Mersing. Kalau nak kata kerana dia jangan haraplah boleh menang. Dah menang lepas tu lompat ‘join’ PPBM, khianat akar umbi UMNO yang bertungkus-lumus menangkan dia di Parlimen Mersing.

“UMNO Sabah ‘tatap steady’ walau habis semua lompat PPBM. Dulu orang kata UMNO Sabah akan terkubur tetapi akhirnya PPBM dan WARISAN yang bungkus pada PRK Kimanis. Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin patut pecat Dr Latiff. Tak guna ada jenis macam ni yang akhirnya memecah-belahkan kita semua,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Husin berkata ini adalah contoh YB PPBM dari Semenanjung yang tidak sedar tentang realiti di luar sana.

“Kalau YB lupa biar saya ingatkan… PRK Kimanis, UMNO bertanding melawan Warisan/PH waktu itu. Dengan jentera kerajaan dan ‘gula-gula’ daripada bajet kerajaan ditaburkan waktu itu, Warisan dan PH (termasuk PPBM) bergabung kekuatan menentang UMNO Sabah yang hanya tinggal satu kerusi Adun dan satu kerusi Parlimen waktu itu.

“Dengan keadaan dimana akaun UMNO disekat waktu itu keadaan UMNO Sabah terpaksa ‘berikat perut’ waktu tersebut, tetapi kerana perjuangan UMNO itu adalah perjuangan rakyat maka Warisan/PH kalah dan UMNO menang dengan majoriti yang bertambah,” ujarnya.

Jadi dimana buktinya UMNO Sabah sudah tidak laku, cuba berikan satu bukti, katanya lagi.

“Nasihat saya kepada Bersatu rehatkan YB ‘standard’ begini. Jika ada niat ingin ke PRU menggunakan PN maka jenis orang begini harus direhatkan,” tegasnya – UMNO Online

 

Oleh: Amin Adnan 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.