Bung Moktar Tegaskan UMNO Sabah Tidak Mati, Kekal Relevan

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa UMNO Sabah tidak mati dan kekal relevan malah telah bangkit daripada kesilapan kesilapan lalu.

Beliau berkata demikian dalam menjawab dakwaan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad tentang kerelevanan UMNO Sabah dalam satu ‘live’ Facebook Majlis Amanah Rakyat mengatakan ‘UMNO di Sabah tidak laku lagi dan tindakan ahli parlimen untuk meninggalkan UMNO adalah suatu hijrah bukannya melompat’.

“Saya sebagai Pengerusi UMNO Sabah akan menjawab beberapa persoalan berkaitan UMNO Sabah.

“Pertama, kerajaan UMNO Sabah telah runtuh selepas menang pada PRU-14 kerana tindakan segelintir pemimpin yang mengetepikan perjuangan asas parti untuk kelansungan kuasa dan jawatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, tiada istilah ‘hijrah’ tetapi budaya ‘membeli’ ahli parlimen untuk mengukuhkan kuasa merupakan praktis yang diamalkan BERSATU.

“Begitu juga yang berlaku di Mersing apabila ahli parlimen UMNO yang menang atas tiket BN telah melompat menyokong kerajaan untuk survival politik peribadi

“Selepas melompat menyokong PH dan kini bekerjasama dengan UMNO melalui kerajaan PN, anda telah menjawat Menteri Pembangunan Luar Bandar. Hijrah ke itu? Kembali ke tempat lama bersama UMNO untuk menumpang kuasa politik dan menjadi menteri.

“Seterusnya, UMNO Sabah tidak mati dan kekal relevan. Syukur Alhamdullilah UMNO Sabah telah bangkit daripada kesilapan kesilapan lalu.”

Ujarnya, kemenangan BN di PRK Kimanis adalah isyarat utama UMNO Sabah telah diterima semula rakyat dan berjaya mengalahkan kerajaan negeri pimpinan Warisan ketika kita menjadi pembangkang.

“Perjalanan UMNO Sabah masih jauh lagi. Kita akan mengukuhkan akar umbi untuk menguatkan sokongan. Parti yang kuat adalah parti yang berpegang pada asas perjuangan, bukannya parti yang mementingkan kuasa.

“Pihak yang layak menilai UMNO Sabah adalah rakyat Sabah. Bukannya dari seorang ahli parlimen yang melompat dan meninggalkan parti ketika kalah,” katanya lagi yang mengakhiri dengan ‘Radu Tatap Radu’. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.