Armand Bidas Dr Latiff Keluar Kenyataan Angkuh, Kurang Bijak… Jangan Cipta Keretakan

SUBANG, 8 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata sebagai pemimpin muda dalam UMNO, beliau konsisten mempertahankan maruah parti dan menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad terhadap UMNO Sabah jelas mengguris hati orang-orang UMNO seluruh negara.

Ini kerana katanya, UMNO adalah sebuah keluarga besar, ibarat cuit peha kanan peha kiri akan terasa.

Justeru Armand menggesa kepimpinan Perikatan Nasional (PN) khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Dr Latiff memohon maaf atas kenyataan yang dilihat angkuh dan sombong itu.

“Saya ingin mengingatkan beliau siapa musuh sebenar PN, kerana mungkin beliau terlupa atau terlepas pandangan kerana sedap duduk di kerusi empuk di puncak kuasa. Musuh nyata PN adalah Pakatan Harapan (PH) bukan rakan PN yang menyumbangkan salah satu kerusi terbesar dalam PN iaitu UMNO.

“Sepatutnya sebagai menteri di bawah PN, anda wajib menunjukan contoh yang baik kepada rakyat Malaysia serta menjaga hubungan baik antara parti-parti dalam PN bukannya mengeluarkan kenyataan terbuka yang dilihat kurang bijak dan tidak matang.

“Sebagai menteri PN sepatutnya memberikan pandangan dan cadangan demi kesejahteraan rakyat Malaysia dalam platform forum tersebut untuk meraih sokongan rakyat Malaysia bukannya mencipta keretakan dalam hubungan antara parti-parti PN,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Armand memberi reaksi demikian mengulas mengenai kenyataan yang tular di media sosial oleh Ahli Parlimen Mersing itu yang mengatakan UMNO Sabah tidak laku dalam satu sesi forum terbuka.

Tambah Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, jelas kenyataan Dr Latiff bersifat emosi dan sekadar mainan retorik untuk dapatkan sokongan daripada partinya.

Jelas Armand lagi, UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menyusun strategi pengukuhan parti sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, walaupun ramai yang tidak yakin UMNO/BN mampu bangkit selepas kali pertama dalam sejarah negara hilang kuasa ketika itu.

“Sehingga ada sebilangan kepimpinan ketika itu yang menang atas tiket UMNO/BN kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah melompat meninggalkan UMNO/BN di saat kita diuji dengan pelbagai cabaran.

“Proses pengukuhan parti dilakukan peringkat demi peringkat dengan kerjasama kepimpinan semua peringkat bermula daripada akar umbi sehingga tertinggi dengan penerapan semangat yang cekal, tabah, kuat, berani dan paling utama kesetiaan,” ujarnya.

Seterusnya, katanya lagi, hasil keyakinan serta komitmen semua peringkat dalam UMNO/BN maka wujudnya kerjasama antara UMNO dan PAS sebagai Muafakat Nasional.

“Bermula daripada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands (Pahang), Semenyih (Selangor), Rantau (Negeri Sembilan), Tanjung Piai (Johor), Kimanis (Sabah) dan yang terbaru Chini (Pahang) semuanya telah dimenangi oleh UMNO/BN dengan kerjasama PAS dalam Muafakat Nasional.

“Saya juga ingin mengingatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar di mana dua PRK daripada enam PRK yang dikatakan, UMNO/BN telah berjaya menumpaskan parti yang menteri wakili iaitu Bersatu, Ini fakta bukan auta,” tegasnya lagi.

Armand juga mengingatkan Dr Latiff, tanpa sokongan UMNO beliau tidak mungkin berdiri sebagai menteri hari ini.

“Jadi saya ingin berikan nasihat kepada beliau tentang semangat berpasukan serta setiakawan harus ada dalam diri beliau yang mewakili barışan kabinet PN.

“Saya juga mendesak beliau untuk memohon maaf kepada seluruh keluarga besar UMNO atas kenyataan beliau demi perpaduan dan kestabilan kerjasama semua pihak dalam PN.

“Biarlah kenyataan saya tidak disenangi Menteri Pembangunan Luar Bandar, tetapi sebagai pemimpin muda dalam UMNO, saya harus pertahankan maruah parti UMNO. Berkata benar, walaupun pahit,” jelasnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.