Usaha Zahid Pulihkan UMNO Selepas `Masa Depan Gelap’ PRU-14 Harus Disokong – Nur Jazlan

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Datuk Nur Jazlan Mohamed mengingatkan, usaha dan tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambung tugas sebagai presiden untuk menyelesaikan masalah besar parti itu secara berperingkat selepas kalah pilihan raya umum ke-14 seharusnya disokong oleh ahli-ahli UMNO.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu menarik perhatian laluan getir UMNO yang antaranya berdepan masa depan gelap selepas PRU berkenaan, `sesat’ serta tidak tahu memainkan peranan sebagai pembangkang setelah menghadapi pelbagai krisis keyakinan.

Selain dari masalah pembelotan pemimpin, kata beliau, UMNO ditekan dari segi pengharaman parti dan juga pembekuan dana oleh Suruhanjata Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Namun begitu penindasan kerajaan Pakatan Harapan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak melemahkan semangat ahli biasa UMNO dan selepas usaha Zahid untuk memulihkan semula kedudukan UMNO menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini telah meletakkan semula UMNO, sekali gus mencerahkan semula masa depan UMNO dari kegelapan PRU-14

“Kejayaan peguam UMNO untuk mendapatkan semula wang UMNO di mahkamah selepas dirayu oleh Peguam Negara juga memperkuatkan UMNO menghadapi PRU-15.

“Maka pemimpin UMNO sepatutnya menyokong usaha Presiden memperkukuhkan parti yang telah membuahkan hasil yang baik untuk UMNO. Lebih baik mereka menumpukan perhatian kepada membuka mata rakyat kepada kelemahan parti Bersatu yang tidak layak menjadi parti utama memimpin negara ini

“Hanya UMNO layak untuk menjadi parti pimpinan utama pada PRU-15 berdasarkan kepada sokongan rakyat terbesar,” kata beliau.

Nur Jazlan turut bersetuju dengan kenyataan Ahmad Zahid supaya pemimpin-pemimpin UMNO menghentikan sebarang polemik berkenaan calon Perdana Menteri untuk Muafakat Nasional (MN) dianggotai UMNO-PAS untuk PRU-15.

“Komposisi ahli parlimen sekarang menyulitkan desakan Perdana Menteri daripada UMNO apabila ada ahli parlimen UMNO yang telah belot kepada parti Bersatu dan sebahagian kecil lagi yang meletakkan diri di atas parti.

“Justeru, tindakan Ahmad Zahid selepas pulang dari cuti jawatan Presiden untuk menyatukan sokongan orang Melayu di bawah MN yang mustahil sebelum ini juga memerlukan keputusan bersama bagi menentukan calon pilihan Perdana Menteri untuk MN,” kata beliau.

Kata Nur Jazlan lagi: “Secara kebetulan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diangkat menjadi Perdana Menteri secara tidak sengaja oleh kerjasama baik antara Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi kenyataan selepas Dr. Mahathir didesak untuk meletak jawatan oleh PH.

“Secara kebetulan juga negara dilanda Covid-19 dan Tan Sri Muhyiddin telah menangani isu ini dengan baik dibantu oleh menteri-menteri UMNO yang berkaliber seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Maka pilihan MN dan Gabungan Parti Sarawak untuk menamakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri MN untuk PRU-15 tepat kerana Tan Sri Muhyiddin merupakan calon yang terpopular ketika ini.

“Tidak perlu ada calon yang lain kalau PRU diadakan dalam tempoh terdekat ini. Bagaimanapun suasana politik boleh berubah dan memerlukan pengubahsuaian sekiranya PRU dilambatkan selepas tahun 2020 ini.” –SM

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.