Kejayaan PRK Chini Bukti Kesepakatan UMNO-PAS Perkukuh Muafakat Nasional – Farid

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor melihat kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menunjukkan kesepakatan BN dan Muafakat Nasional yang terus mendapat sokongan.

Menurut beliau apa yang jelas sepanjang tempoh kempen pelbagai peringkat parti masing-masing bertungkus-lumus termasuklah rakan-rakan komponen lain serta Perikatan Nasional (PN) yang turut sama membantu menjayakan kempen BN di PRK Dun Chini.

“Di Chini membuktikan bahawa rakyat memang hendak menunjukan sokongan kepada Muafakat Nasional. Sebab itu walaupun menentang calon bebas, pengundi keluar beramai-ramai termasuk juga pengundi luar yang balik ke Chini.

“Sepanjang kempen PRK berlangsung antara UMNO/BN dengan PAS tiada beza, bekerja satu pasukan dan tiada lagi bilik gerakan lain-lain sebaliknya menggunakan satu bilik gerakan dan kita merancang strategi bersama, bergerak dari rumah ke rumah pun bersama-sama,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

PRK Chini menyaksikan calon BN Mohd Sharim Md Zain, 41, menang dengan majoriti 12,650 undi, setelah memperoleh 13,872 undi, mengalahkan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, dengan memperoleh 137 undi sahaja.

Dalam pada itu Mohd Farid turut menambah bahawa kemenangan berturut-turut enam kali dalam PRK termasuk yang terbaru di DUN Chini membuktikan bahawa BN masih relevan dan sentiasa diterima oleh rakyat.

Katanya, pencapaian yang diraihkan oleh UMNO dan BN adalah satu keputusan yang tepat sebagai mewakili pilihan dan aspirasi anak muda yang merupakan lebih 50 peratus pengundi dalam DUN Chini.

“Meletakkan calon muda iaitu satu keputusan yang terbaik bagi BN. Ia dilihat kepada semua saluran muda di peti undi, kita mencatatkan satu keputusan yang sangat baik.

“Secara amnya kita melihat orang muda tidak berminat kepada kedua-dua calon bebas. Jumlah undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon bebas ini dari orang muda adalah sangat sedikit,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.