Gabungan Kerjasama Kerajaan Dan Peneroka, Felda Di Mercu Kejayaan – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 7 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kejayaan Felda bersandar kuat kepada semangat meneroka di kalangan peserta yang pada ketika itu tiada siapa yang dapat menjangka apakah hasilnya.

Katanya, kerajaan yang menjadi arkitek mencetuskan idea pembukaan tanah rancangan merupakan suatu usaha berpandangan jauh pimpinan.

“Hari ini, kita bersyukur dan berterima kasih kepada semua peneroka Felda di seluruh negara yang telah memberi sumbangan bermakna sejak penubuhannya.

“Gabungan kerjasama kerajaan dan peneroka inilah yang berjaya menangani isu kemiskinan dan hambatan keselamatan pada peringkat awal penubuhan Felda.,” katanya dalam satu catatan di Facebook, sempena Hari Peneroka 2020 yang disambut pada hari ini.

Tambahnya lagi, Felda kini muncul sebagai satu entiti sosioekonomi berskala besar yang amat penting kepada negara dengan perladangan sebagai tunjang utama.

“Entiti ini berpotensi untuk berkembang kerana kita yakin dengan semangat para peneroka di seluruh negara yang kental, sanggup berkorban dan berusaha tanpa jemu,” ujarnya.

Bertemakan ‘Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran’, sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan akan diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Sungkai, Perak, hari ini, yang adakan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dilaporkan, sambutan Hari Peneroka tersebut diadakan dalam kebiasaan baharu yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan hanya dihadiri 250 tetamu termasuk 110 peneroka dari 11 wilayah Felda. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.