Burukkan Imej Negara… Ada Pemimpin PH Di Belakang Al Jazeera?


KUALA LUMPUR, 7 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata ketegasan kerajaan sangat diperlukan disaat banyak pihak cuba untuk memburukkan imej negara.

Ujarnya, tindakan salah lapor dengan sengaja oleh Al Jazeera jelas sekali menunjukkan mereka punya niat jahat untuk berikan gambaran buruk kononnya pihak berkuasa kita menzalimi warga asing.

“Ramai tahu Al Jazeera juga sering menyiarkan berita berat sebelah dan sering menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tapi perkara itu tidak berlaku ketika 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini media asing itu sudah mula untuk memburuk-burukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula. Kenapa? Adakah ada pemimpin PH yang berada di belakang media asing tersebut?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu tegasnya, Puteri UMNO mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan jahat dan biadap pihak luar yang cuba menjatuhkan imej negara termasuk warga asing yang tinggal dalam negara kita.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Dalam perkembangan terbaru, dilaporkan polis memulakan siasatan berhubung laporan agensi Al Jezeera yang didakwa berniat memburukkan imej Malaysia dan akan memanggil pengendali dan wartawannya dalam masa terdekat. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.