RM6.3 Bilion ‘Lesap’… Kondo Mewah Siap Tapi Mana Terowong Dasar Laut Dan Tiga Jalan Utama?

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Penganalisa politik tempatan, Azizi Safar mempersoalkan apa status projek terowong dasar laut yang sehingga kini masih tidak ada sebarang perkembangan.

Apa yang lebih dipersoalkan adalah bukan hanya terowong tetapi tiga jalan utama yang dijanjikan juga tidak nampak bayang tetapi dua blok kondominium mewah di atas tanah ‘bayaran’ oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Straits Quay bernama City of Dreams sudah terdiri dan dijual oleh pemaju.

“Tanah yang menjadi pertukaran kini telah dimajukan dan dibina dua blok kondominium mewah yang diberi nama City Of Dreams tetapi tiga Jalan utama masih tidak ada pembinaan. Setakat tahun 2018, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikatakan telah membayar RM208,755,080 juta kepada Konsortium Zenith melalui pertukaran tanah bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci pakej projek tiga jalan utama. Tiada bayaran dibuat untuk pakej terowong bawah dasar laut sebab semua kajian masih belum siap.

“Jumlah keluasan tanah memalui pertukaran itu adalah 3.7 ekar ‘net developed land’ di Seri Tanjung Pinang berdasarkan kiraan pada harga pasaran RM1,300 setiap kaki persegi. Di atas tanah inilah, Ewein Zenith membina projek dua blok kondominium mewah City of Dreams mengambil sempena nama City of Dreams yang terkenal di Macao.

“Unit-unit kondominium di City of Dreams semasa pelancaran projek dijual pada harga RM 1,450,667 ke RM 3,613,333. Jumlah unit kondominium adalah 572 unit. Projek terowong yang terlebih diberi perhatian dan dijadikan bahan oleh ramai pihak telah menyebabkan ramai tidak nampak projek City of Dreams ini. Seperti ada yang tersirat dan tersurat dalam hal pertukaran tanah ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Azizi, sejak pembongkaran mengenai terowong dasar laut ini, banyak perkara yang tidak kena telah dikenalpasti namun sehingga kini tiada jawapan pasti terhadap semua persoalan yang diutarakan.

Untuk rekod, kos bagi pembinaan terowong dan tiga jalan utama pula bernilai RM6.3 bilion.

Sejak penganugerahan projek kepada Konsortium Zenith-BUCG pada 2013, sehingga kini masih tidak nampak kerja-kerja dijalankan bagi pembinaan terowong dasar laut mahupun tiga jalan utama.

Ewein Zenith adalah syarikat usahasama antara Ewein Land Sdn Bhd (anak syarikat Ewein Berhad) dan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd. (Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd kini dikenali dengan nama Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd setelah BUCG keluar dari konsortium asal)

Beberapa hari lalu, Ewein Berhad dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia memaklumkan penamatan penjanjian anak syarikatnya Ewein Zenith II Sdn Bhd dengan Konsortium Zenith Construction untuk memajukan parsel tanah lain yang dijadikan bayaran oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Konsortium Zenith Construction berkuatkuasa mulai 1 Julai 2020.

Ewein Berhad juga menuntut Konsortium Zenith Construction memulangkan semula semua wang yang telah didahulukan oleh Ewein Zenith II kepada Konsortium dalam tempoh 60 hari dari tarikh 1 Julai 2020.

Pengumuman ini dibuat sehari selepas bekas Penolong Bendahari Dap Pulau Pinang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.