Letakkan Asas Perjuangan UMNO Ke Arah PRU-15 – Armand

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata apa yang penting kini adalah proses ke arah Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15) iaitu meletakkan asas utama perjuangan, penyatuan, pengukuhan, perlaksanaan dan perpaduan dalam diri.

Ujarnya, UMNO mempunyai struktur parti yang kuat dan ianya sejak dahulu hingga sekarang kekal utuh kerana struktur parti yang dibina.

“Tiap keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti adalah kerana kepentingan dan pengukuhan parti UMNO setelah mengkaji pelbagai sudut baik positif mahupun negatif daripada jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

“Pelbagai persoalan yang kita kaji dalam proses transformasi parti ke arah hadapan, baik daripada sokongan warga bandar hingga luar bandar, baik sokongan orang lama sehingga generasi muda,” katanya dalam kenyataan menerusi facebooknya hari ini.

Terangnya, utamakan parti lebih daripada kepentingan peribadi.

“Saya selaku pemimpin senantiasa akan suarakan pandangan rakyat terutama akar umbi pada kepimpinan tertinggi insya-Allah, tetapi sebagai ahli MKT UMNO saya sebagai ahli jemaah harus akur dengan keputusan yang dibuat secara kolektif selepas dibincang daripada pelbagai sudut.

“Setakat hari ini saya masih berpegang kepada keputusan mesyuarat MKT yang lepas iaitu perkukuhkan Muafakat Nasional… sehingga kini ini adalah keputusan,”

“Jika ini diterapkan insya-Allah kita akan berjaya pada PRU-15 akan datang. Sama-sama kita perkukuhkan dan memantapkan parti kita, kalau bukan kita siapa lagi,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.