Biadap, Al Jazeera Perlu Mohon Maaf Secara Terbuka Kepada Malaysia
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin Shukor membidas kebiadapan agensi berita asing, Al Jazeera yang menggambarkan seolah-olah Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang asing.
Tegas beliau, Al Jazeera perlu memohon maaf secara terbuka kepada Malaysia dan kerajaan Malaysia juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap media ini kerana ia melibatkan maruah negara.
“Tindakan Al Jazeera ini bukan sahaja mengguris hati tetapi cukup menghina seluruh warga negara Malaysia. Ia bukan sahaja tidak menghormati Malaysia tetapi penghinaan ini sengaja diwujudkan bagi membunuh reputasi baik Malaysia pada mata dunia.
“Tindakan Al Jazeera ini seakan ada agenda tersusun dan terancang disebaliknya dan tidak mustahil ada tangan-tangan ghaib yang terlibat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Amin yang juga Ketua Pemuda UMNO Damansara, kerajaan dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan sewajarnya kepada Al Jazeera agar perkara seperti tidak berulang malahan dijadikan pengajaran bagi mana-mana pihak yang melampaui batas.
Untuk rekod, Al Jazeera telah memuatnaik satu dokumentari di ‘youtube’ yang bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lock down’ dan ia mendapat kecaman natizen.
Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut telah mendapat 150,000 ‘dislike’.
Dokumentari berdurasi 30 minit itu memaparkan langkah kerajaan Malaysia menangani COVID-19 yang menurut agensi berita antarabangsa itu sebagai menekan, tidak berperikemanusiaan dan bersifat prejudis terhadap warga asing. PKPD yang kerajaan Malaysia kuatkuasakan terutama di kawasan majoriti warga asing pula digambarkan sebagai brutal dengan operasi gaya junta. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy