Terima Kasih Kepada Pengundi, Sekalung Penghargaan Kepada Jentera – Ismail Sabri


PEKAN, 5 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan kemenangan yang besar dan bergaya kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti pelbagai peringkat yang membantu sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Pada peringkat awalnya ramai yang bimbang walaupun kita menjangkakan akan menang tetapi kita bimbang pengundi-pengundi yang di luar tidak balik, yang berada di Chini pun tidak keluar mengundi kerana keyakinan sudah tinggi.

“Kalau kita lihat dari segi jumlah pengundi yang keluar mengundi hari ini adalah 73 peratus dan ini merupakan salah satu daripada PRK yang pengundinya begitu ramai berada di luar kawasan mengundi.

“Kemenangan yang kita perolehi hari ini jelas menunjukkan bahawa BN diterima oleh rakyat serta  terus yakin kepada BN dan ini merupakan kemenangan keenam berturut-turut. Saya percaya ‘trend’ ini akan berterusan dan saya terus yakin akan memenangi pilihan raya-pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online sejurus keputusan rasmi PRK DUN Chini diumumkan.

BN mempertahankan kerusinya dengan menang besar dalam PRK DUN Chini dengan majoriti sebanyak 12,650 undi.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain memperolehi undi sebanyak 13,872 undi dan calon Bebas yang menggunakan logo rumah, Datuk Tengku Zainol Hisham Tengku Hussin mendapat 1,222 undi.

Manakala seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli yang menggunakan lambang kunci, hanya mampu meraih 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas tersebut hilang wang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Peratus keluar mengundi adalah sebanyak 74 peratus.

Pegawai Pengurus PRK DUN Chini, Datuk Zaliza Zulkipli mengumumkan perkara demikian di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan di sini.

Pada masa yang sama Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada PAS selaku rakan Muafakat Nasional serta parti-parti lain yang membantu pada PRK berkenaan.

“Kita juga berterima kasih kepada PAS selaku rakan Muafakat Nasional malah begitu juga daripada rakan-rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga turut membantu. Terima kasih kepada semua dan paling utama adalah terima kasih kepada pengundi di Chini,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Wanita UMNO Datuk Noraini Ahmad turut menzahirkan perasaan yang sama dan melihat kerjasama yang diberikan oleh pengundi Chini khususnya amat baik.

“Kerjasama yang diberikan oleh pengundi mahu pun jentera sepanjang tempoh berkempen adalah sangat- sangat baik dan mereka menerima kedatangan perayu undi dengan hati terbuka dan Alhamdulillah pada hari ini diterjemahkan kepada undi BN,” katanya.

Ujar beliau lagi PRK Chini dan kemenangan hari ini merupakan kemenangan yang keenam berturut-turut dicapai oleh BN.

“Apa pun saya juga ingin menyatakan bahawa ujian utama kita adalah PRU-15 nanti. Jadi Wanita UMNO akan menekankan lagi gerak kerja, insya Allah,” tambahnya. – UMNO Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.