Kemenangan PRK Chini, BN Yakin Hadapi PRU-15 Dengan Baik – Ahmad Maslan


PEKAN, 5 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kemenangan besar yang diperolehi Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini memberi keyakinan kepada parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan cukup baik, walaupun jika diadakan secara mengejut.

Katanya, jika dahulu ketika kalah dalam PRU-14 lambang BN dianggap sudah tidak laku, sebaliknya berlaku kini apabila di enam PRK yang berturutan BN kembali menang yang menunjukkan bahawa BN tetap di hati rakyat.

“Antara faktor majoriti yang besar itu adalah kehebatan jentera kita melaksanakan tugas kerana mengambil segalanya secara serius. Kita tahu bahawa calon Tengku Hisham (Datuk Tengku Zainol Hisham Tengku Hussin-Bebas) itu di belakangnya ialah seseorang tokoh yang tertentu yang diviralkan beliau berjumpa dengan Tun Mahathir dan Tun Mahathir juga ada video pendek untuk menyokong calon ini. Oleh kerana itu kami menganggapnya sebagai satu cabaran yang besar walaupun dengan calon Bebas, kami berlawan bersungguh-sungguh.

“Satu yang kita belajar dari PRK ini ialah bagaimana penggunaan media sosial yang berkesan boleh sampai kepada 8,500 pengundi luar dan majoriti mereka pulang kerana tahu tentang kepentingan PRK DUN Chini.

“Dan satu lagi, mandat yang besar memberikan satu semangat yang besar kepada exco kerajaan negeri, menteri besar, menteri-menteri membantu membangunkan DUN Chini,” ujarnya kepada media di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Paloh Hinai, di sini, Sabtu malam.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain memperolehi undi sebanyak 13,872 undi dan Tengku Zainol Hisham yang menggunakan logo rumah mendapat 1,222 undi.

Manakala seorang lagi calon Bebas yang menggunakan lambang kunci, Mohd Shukri Mohd Ramli, hanya mampu meraih 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas tersebut hilang wang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Jelasnya lagi, BN hanya menjangkakan majoriti sekitar sepuluh ribu undi berdasarkan keadaan semasa.

“Kami hanya jangka majoriti hanya sepuluh ribu, tetapi apabila dapat 12,650 Alhamdulillah, itu satu kejayaan yang amat besar berbanding majoriti sebelum ini.

“Dan ini membuktikan Muafakat Nasional bukan hanya dikira atas kertas, tetapi berlaku secara realiti politik. Dulu (PRU-14) PAS lima ribu lebih, sepuluh ribu lebih undi BN,” ujarnya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN dan PAS serta rakan-rakan BN yang lain.

Ulas lanjut, Ahmad yakin wakil rakyat DUN Chini yang baharu itu akan melaksanakan tugas dengan baik.

“Saya melihat beliau ialah seorang yang segera mahu belajar dan menerima teguran dan seorang yang menghormati orang tua dan pemimpin yang lain.

“Selama saya berkempen bersama beliau, saya melihat kualiti itu ada dan saya yakin beliau menyusun jawatankuasa dengan baik di DUN Chini dengan bantuan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian Pekan yang lain.

“Saya selalu mengingatkan beliau, perlu ada keyakinan bahawa di belakangnya ada dua kerajaan, iaitu kerajaan BN di Pahang dan kerajaan Perikatan Nasional di pusat. Dan dua kerajaan ini akan membantu beliau,” katanya.

Tidak ketinggalan, Ahmad juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi terutama pengundi luar yang sanggup pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed