Jangan Selesa, Perjuangan Masih Panjang Dan Perkukuhkan Kekuatan – Dr Shamsul

LENGGONG, 5 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dengan majoriti undi sebanyak 12,650 berbanding hanya 4,622 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, adalah bukti parti terus berada di hati rakyat.

Katanya, kejayaan BN kali ini adalah kemenangan keenam selepas PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis yang menunjukkan rekod baik bagi BN.

“Namun demikian UMNO BN jangan selesa. Perjuangan kita masih panjang. Perkukuhkan kekuatan kita di semua peringkat.

“Pelihara perpaduan sesama kita untuk UMNO BN kembali dengan lebih gagah selepas ini. Paling utama rakyat mesti dijaga,” kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, PRK DUN Chini menyaksikan calon BN, Mohd Sharim Md Zain memperolehi undi sebanyak 13,872 undi dan calon Bebas yang menggunakan logo rumah, Datuk Tengku Zainol Hisham Tengku Hussin mendapat 1,222 undi.

Manakala seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli yang menggunakan lambang kunci, hanya mampu meraih 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas tersebut hilang wang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Dr Shamsul yang juga Pengerusi Akademi UMNO Malaysia turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Sharim dan sekalung penghargaan yang tidak terhingga kepada seluruh jentera BN di semua peringkat yang bekerja keras selama tempoh berkempen berlangsung.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua parti yang menyokong calon UMNO BN.

“Dan pastinya penghargaan terima kasih diucapkan kepada pengundi-pengundi di DUN Chini yang terus memberi kepercayaan serta keyakinan kepada BN,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.