PRK DUN Chini: BN Menang Besar, Calon Lawan Hilang Deposit

PEKAN, 4 Julai – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusinya dengan menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dengan majoriti sebanyak 12,650 undi.

Pegawai Pengurus PRK DUN Chini, Datuk Zaliza Zulkipli mengumumkan perkara demikian di Pusat Penjumlahan Undi, Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan di sini.

Katanya, calon BN, Mohd Sharim Md Zain memperolehi undi sebanyak 13,872 undi dan calon Bebas yang menggunakan logo rumah, Datuk Tengku Zainol Hisham Tengku Hussin mendapat 1,222 undi.

Manakala seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli yang menggunakan lambang kunci, hanya mampu meraih 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas tersebut hilang wang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Peratus keluar mengundi adalah sebanyak 74 peratus.

Sebanyak 13 pusat pengundian dan 65 saluran disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam suasana pengundian normal baharu selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sejak Mac lalu, PKP dikuatkuasakan bagi mengekang dan seterusnya memutuskan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Secara keseluruhan, terdapat 66 saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Chini termasuk saluran dan pusat mengundi awal membabitkan 18 pengundi polis yang selesai pada 30 Jun lepas.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian yang melibatkan 20,972 orang pengundi biasa.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari Pakatan Harapan-PKR (1,065). – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.