PRK Chini: Jumlah Peratusan Mengundi Lepasi Sasaran Walaupun SOP Ketat

PEKAN, 4 Julai – Meskipun wujud kebimbangan penularan COVID-19, ia bukan halangan buat pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menunaikan tanggungjawab, sehingga menyaksikan jumlah peratusan mereka yang keluar mengundi melepasi sasaran ditetapkan iaitu 70 peratus.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sasaran itu berjaya dicapai walaupun pengundi yang terdiri daripada penduduk tempatan dan pengundi dari luar juga terpaksa berdepan prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika proses pengundian berlangsung.

“Secara keseluruhan, pematuhan SOP berjalan seperti yang dirancang dan ada pegawai penguatkuasa beruniform yang membantu memantau perkara itu.

“Cuma yang nampak agar sukar untuk dipatuhi ialah soal penjarakan sosial tetapi SOP lain seperti pemeriksaan suhu badan dan pensanitasi tangan semasa memasuki pusat pengundian semua dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Setakat 4 petang ini, sebanyak 72 peratus daripada 20,816 pengundi biasa bagi DUN Chini telah menunaikan tanggungjawab mereka, mengatasi sasaran awal Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu 70 peratus.

Sementara itu, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan Malaysia masih tidak membenarkan kemasukan warga asing ke negara ini kecuali diplomat, peserta Malaysia Rumah Keduaku, pelajar dan ekspatriat EP1 (pengurusan tertinggi syarikat yang mempunyai pelaburan di Malaysia).

“Walaupun kebelakangan ini kita mencatat satu angka untuk kes positif COVID-19 namun atas nasihat Kementerian Kesihatan, kita masih lagi tidak boleh membuka pintu sempadan negara dan hal yang sama juga berlaku di negara lain kecuali England yang sudah berbuat demikian semalam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya tajuk yang dikeluarkan sebuah portal berita semalam tentang Majlis Keselamatan Negara sedang berbincang untuk membenarkan kemasukan rakyat China adalah tidak tepat dan mengelirukan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.