Yakini Kemampuan BN, Beri Kepercayaan Kepada Saya – Mohd Sharim

PEKAN, 3 Julai – Pengundi perlu yakin akan kemampuan Barisan Nasional (BN) dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat atas beberapa faktor, ujar calon BN di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Selain terbukti mampu menjaga kebajikan rakyat, BN juga mempunyai saluran yang tepat serta kekuatan dalam memenuhi kepentingan rakyat, katanya yang merupakan generasi kedua Felda dari Chini 3.

“Itu yang jelas dan perlu difikir oleh pengundi-pengundi apabila saya sebagai calon BN pastinya melihat kepada parti BN sebagai pemerintah di peringkat kerajaan negeri dan juga hari ini di peringkat pusat pun kita di bawah Perikatan Nasional.

“Pastinya kelebihan kepada kita untuk membawa suara permasalahan rakyat akan diterima ataupun dipandang terutama oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan juga Datuk Seri Wan Rosdy (Menteri Besar Pahang) untuk diberi perhatian apa jua permasalahan yang dibawa.

“Pastinya akan dipertimbangkan untuk diselesaikan apa jua perkara dari pelbagai peringkat masyarakat,” tambahnya kepada UMNO Online.

Berhubung dengan hari pengundian yang semakin hampir, Mohd Sharim merayu kepada pengundi agar memberi kepercayaan kepadanya memikul tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat.

“Saya merayu kepada pengundi-pengundi dan masyarakat DUN Chini khususnya di Felda, kampung tradisi dan Orang Asli, saya mengharapkan kepercayaan untuk diberikan mandat untuk saya memberikan khidmat terbaik.

“Mewakili parti BN, Muafakat Nasional dan kerjasama Perikatan Nasional untuk saya menjalankan tugas membawa suara permasalahan rakyat bagi masyarakat di DUN Chini ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai jentera parti yang bertungkus-lumus membantunya di dalam PRK DUN Chini ini, Mohd Sharim amat menghargai kesungguhan mereka dan mengharapkan keputusan yang terbaik di hari pengundian nanti.

“Saya melihat kesungguhan dan tungkus-lumus jentera di peringkat pusat, negeri dan bahagian serta jentera Muafakat Nasional sangat baik membantu memastikan dari segi kerja di PRK N.23 ini berjalan dengan apa yang telah dirancang.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada jentera-jentera yang telah melaksanakan tugas dengan baik.

“Harapan kita agar perkara ini dapat diterjemahkan pada 4 Julai nanti oleh pengundi-pengundi di DUN Chini ini (begitu) juga pengundi luar; anak perantauan yang akan pulang,” tambahnya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

BN menampilkan Mohd Sharim, 41, yang merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.

Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat dicabar dua calon Bebas.

Usahawan muda itu amat menyanjung tinggi Allahyarham Abu Bakar, yang digelarnya sebagai ‘ayahanda’ dan ‘mentor’ dalam kepimpinan dan seterusnya mampu menjadi penyambung legasi perjuangan penyandang DUN Chini itu. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.