PRK Chini: Waspada Hingga Saat Akhir, Calon Bebas Tidaklah ‘Bebas’ Sangat – Shahril

PEKAN, 3 Julai – Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan mengingatkan jentera parti dan juga para pengundi agar sentiasa berwaspada kerana calon bebas yang ada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini  bukanlah ‘bebas’ sepenuhnya.

Bagi beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO calon bebas itu bukanlah ‘bebas’ sangat dan ianya sememangnya terikat dan pengundi di Chini serta luar Chini perlu tahu hakikat berkenaan sebelum membuang undi esok.

“Calon ini tidak ‘bebas’ sangat dan ianya memang terikat dengan pihak tertentu… pengundi di Chini kena tahu dan rakyat di luar Chini pun kena tahu. Ini calon yang benar-benar disokong oleh ‘lawan’ kita tetapi mereka tidak mahu hantar calon secara rasmi dan tolong ikut belakang. Jadi nak kata benda ini calon bebas sangat pun tidak. Sama ada mereka akan memainkan ‘cywar’ pada saat akhir-akhir saya ingat sepanjang dua minggu itu sahaja modal dia.

“Dia mempersoalkan  calon kita dan mengungkit pelbagai perkara yang sebenarnya bukan isu pun tapi cuba untuk mengelirukan rakyat… dan itu kerja pembangkang. Dalam ‘mood’ kempen ini semua dalam taktik peperangan sudah tentu segala tohmahan kita kena tepis dan kena balas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas mengadakan ramah mesra bersama pengundi di Kampung Gumum, di sini, semalam.

Jelas Shahril segala persoalan dan tohmahan yang dibangkitkan telah dijelaskan sebaik mungkin dan apa yang penting semua pihak tidak terkeliru atau terpesong daripada matlamat utama iaitu keluarkan pengundi.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan rasa syukur kerana kempen berjalan dengan baik serta lancar walaupun pada peringkat awalnya tidak jelas bagaimanakah SOP sepanjang tempoh berkempen.

“Tempoh berkempen semakin lama semakin rancak hingga ke penghujung dan walaupun pada awalnya kita tidak pasti SOP bagaimana dan sejauh mana kempen boleh dilakukan seperti biasa tetapi Alhamdulillah berkat daripada pengalaman dan persiapan kita… apabila SOP berubah kita semakin rancak berkempen.

“Bersama dengan rakyat… bersama pengundi dan perkara itu berjalan seperti biasa walaupun kaedahnya itu berbeza. Terima kasih awal kepada jentera yang cukup komited dan jangan kita berasa selesa dalam beberapa jam terakhir sebaliknya terjemahkan segala usaha kuat kita selama ini kepada kemenangan besar.

“Kepada pengundi bagi pihak calon dan BN, marilah ramai-ramai kita keluar mengundi pada esok dan jangan ambil mudah. Pengundi dalam Chini dan luar Chini ambillah masa untuk mengundi calon nombor tiga, Mohd Sharim Md Zain,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.