PRK Chini: Kemenangan BN Sabtu Ini Referendum Rakyat Tidak Lagi Percayakan PH – Dr Asyraf Wajdi

PEKAN, 3 Julai – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki percaya kemenangan serta sokongan yang tinggi kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain pada Sabtu ini merupakan satu gambaran atau referendum yang penting kepada rakyat secara keseluruhannya.

Menurut Dr Asyraf, ianya bukan sahaja memperlihatkan bahawa rakyat tidak mahu lagi kepada Pakatan Harapan (PH) malahan memberi mesej ke manakah hala tuju permuafakatan yang sebenar.

“Ke mana hala tuju kita? Chini adalah suatu pilihan raya yang bukan biasa-biasa dan Chini ini penting. Betul… kita ingat ke PH akan meletakkan calon, PKR akan letak calon… Dap akan letak calon tetapi rupa-rupanya mereka kecut perut.

“Cakap besar tuhan sahaja yang tahu tetapi dia letak proksi dia… ‘atuk’ letak proksi dia tetapi kita kena ingat Chini adalah satu gambaran atau satu referendum yang penting untuk kita beri mesej kepada rakyat keseluruhannya,” katanya dalam program’ Muafakat Nasional – Hikmah UMNO dan PAS Bersama’, di sini, Khamis malam.

Jelasnya lagi, PRK DUN Chini juga memperjelaskan bahawa kesepaduan dan kesepakatan yang ada hari ini sedang diperkukuhkan untuk menghadapi pilihan raya yang lebih besar.

“Pertama, DUN Chini ini kita mahu beri mesej bahawa kita mahukan satu kesepaduan dan kesepakatan Muafakat Nasional. BN UMNO dan PAS kembali perkukuhkan kedudukan kita, kerjasama kita untuk menghadapi pilihan raya yang lebih besar.

“Keduanya rakyat di Chini akan mewakili seluruh rakyat Malaysia bahawa keputusan pada hari Sabtu ini akan memberikan petanda yang penting bahawa rakyat tidak mahu PH kembali kembali berkuasa. Rakyat di Chini terutama peneroka sudah melalui tempoh yang perit selama 22 bulan,” tegasnya.

Selain Dr Asyraf beberapa pimpinan lain daripada kedua-dua parti termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua UMNO Pekan yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut memberikan ucapan.

Tambah Dr Asyraf lagi Sabtu ini juga merupakan isyarat daripada pengundi Chini yang mewakili rakyat negara ini terhadap PH.

“Cukup-cukuplah PH. Kita tidak mahu lagi kerajaan PH dahulu yang hanya mementingkan tembolok masing-masing bergaduh soal siapa mahu menjadi perdana menteri sehingga ke hari ini pun tidak selesai lagi.

“Dah jatuh masih tidak sedar diri masih berbalah bab siapa nak jadi PM (perdana menteri) akhirnya ‘atuk’ letak anak dia sebagai timbalan PM ke-2. Apakah kita mahu kerajaan ini kembali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Sdr Ir khairil Nizam Khiruddin pula berkata rakyat khususnya pengundi mempunyai kuasa selama satu hari yang cukup bermakna.

“Pemimpin mempunyai lima tahun untuk berkuasa sekurang-kurangnya dan rakyat mempunyai sehari berkuasa iaitu hari pembuangan undi. Kalau rakyat silap memilih pemimpin mereka maka berlakulah apa yang berlaku sebelum ini …. mimpi ngeri selama 22 bulan yang kita hadapi sewaktu kerajaan Pakatan harapan memimpin negara.

“Sebab itu saya menyeru kepada semua pengundi di DUN Chini baik muda ataupun tua, lelaki ataupun perempuan tarikh keramat itu mengundi calon kita kerana calon ini membawa aspirasi anak muda.

“Beliau merupakan generasi kedua Felda yang mana beliau mengetahui jerit perih anak kelahiran Felda. Beliau akan memperjuangkan perkara-perkara yang sepatutnya dinikmati oleh golongan Felda,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.