Prestasi PRK DUN Chini Jadi Petunjuk Aras Untuk PRU-15 – Mohamad

PEKAN, 3 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata prestasi kemenangan BN di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menjadi petunjuk dan angka rujuk bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, peningkatan angka majoriti boleh dilihat dengan hasil kerjasama yang wujud antara PAS dan kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di dalam Perikatan Nasional.

“Kalau boleh kita nak gandakan jumlah majoriti yang kita dapat. Kalau dulu kita ada tiga penjuru BN, PAS dan PKR (Pakatan Harapan-PH). PAS dapat lima ribu, PH dapat seribu lebih. Jadi kalau kita boleh lonjakkan majoriti kita itu sekali ganda kerana memandangkan PAS telah menyatakan sokongan, begitu juga PPBM.

“Kalau kita dapat gandakan majoriti di sini, apa yang jelas sekali bahawa ini adalah PRK yang pertama selepas kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan.

“Dulunya kita sebagai pembangkang dalam Muafakat Nasional, tetapi sekarang ini kita di dalam Perikatan Nasional kita juga mahu sebagai suatu angka petunjuk yang boleh dijadikan sebagai rujukan setelah kita bersama dalam Perikatan Nasional,” kata Timbalan Presiden UMNO itu kepada media selepas program Muafakat Nasional N.23 Chini dengan tema ‘Hikmah UMNO dan PAS’ di Bandar DARA di sini, Khamis malam.

Katanya, PRK DUN Chini juga sebagai medan latihan kepada jentera parti menjalankan aktiviti-aktiviti berkempen dan mengurus hal ehwal pilihan raya sebelum menempuh PRU-15.

Hadir sama ke himpunan tersebut Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Pengarah Operasi PRK DUN Chini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata, BN berasa amat bangga kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan secara terbuka terhadap calon BN yang mewakili Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dalam PRK DUN Chini serta diharap mampu memberi impak yang baik.

Mengulas mengenai PRU-15, Mohamad berkata persefahaman yang wujud dalam parti-parti yang mendokong Perikatan Nasional telah membuat ketetapan bahawa satu lawan satu menentang PH, begitu juga dengan pendirian PAS.

Manakala dalam perkembangan yang berkaitan, Tuan Ibrahim yakin pengundi PAS akan mengundi BN dalam PRK DUN Chini ini.

“Ahli PAS ini setia dan patuh. Bila parti buat keputusan, akan patuh.

“Bagi saya mereka akan keluar mengundi dan mereka akan undi calon yang diputuskan oleh parti dan parti telah membuat keputusan bahawa kita, semua ahli, penyokong PAS mesti sokong calon BN terutama yang di luar (pengundi luar) kita harapkan balik mengundi,” katanya juga kepada media selepas selesai majlis.

Ulas Menteri Alam Sekitar dan Air itu lagi, momentum kerjasama PAS dan UMNO ternyata telah membuahkan hasil sejak dari PRK Parlimen Cameron Highlands dan ia semakin meningkat naik.

“Saya tengok ada satu hikmah yang terselindung. Setiap kali ada PRK, ia merapatkan hubungan dan ini kali kesebelas PRK.

“Bermakna momentum daripada Cameron Highlands itu terus menaik, “sampai PH tak letak calonlah di Chini”. Momentum itu berkekalan,” ujarnya yang berterima kasih kepada jenteranya yang bertungkus-lumus membantu BN dalam berkempen. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.