PAS Zahirkan Sokongan Penuh Kepada Calon BN, Seru Pengundi Laksanakan Tanggungjawab

PEKAN, 3 Julai – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini.

“Pertama saya ingin menyampaikan salam Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada yang hadir pada malam ini dan sokongan serta dokongan beliau supaya seluruh ahli PAS memberikan sokongan padu kepada calon BN dalam PRK kali ini,” katanya ketika memulakan ucapan pada Ceramah Muafakat Nasional yang diadakan di Bandar DARA, di sini, malam tadi.

Tambah Tuan Ibrahim, PRK DUN Chini adalah PRK yang ke-11 setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan jika diimbau graf keputusan pada PRK peringkat awal jelas keputusan memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kita tengok graf keputusan PRK pertama hingga kesepuluh, momentum pada keputusan PRK sebahagiannya menyebelahi PH seperti PRK Sungai Kandis sebagai contoh, PRK Balakong, Seri Setia dan Port Dickson.

“Detik perubahan bermula di Cameron Highlands dan menyaksikan pada waktu itu hubungan PAS dengan UMNO telah pun berada pada tahap mukadimah Muafakat Nasional yang menyaksikan titik tolak peralihan berlaku.

“Dan dalam PRK di Cameron Highlands calon BN memperoleh kemenangan. Momentum ini terus sehinggalah ke Rantau, datang pula Tanjung Piai jumlah itu makin besar dan akhir sekali Chini (PH) langsung tidak masuk,” katanya.

Selain Tuan Ibrahim, beberapa pimpinan lain daripada kedua-dua parti termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua UMNO Pekan yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin yang turut memberikan ucapan.

Tuan Ibrahim seterusnya mengharapkan PRK Chini menjadi ledakan kebangkitan yang mana kali ini ianya merupakan PRK pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang didokong bersama.

“Mudah-mudahan di Chini ini menjadi ledakan kebangkitan sebab ini kali pertama PRK dalam kerajaan Perikatan Nasional dan PAS dengan UMNO dalam Muafakat Nasional tidak ada masalah dah. Kemudian kita bergabung pula menjadi sebuah kerajaan Perikatan Nasional bersama rakan-rakan parti yang lain.

“Saya juga memohon kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS serta pengundi PAS, pastikan semua balik mengundi pada Sabtu ini dan begitu juga pengundi lain dengan memberikan sokongan kepada calon BN yang kita angkat pada kali ini,” ujarnya. – UMNO Online.

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.