Terima Kasih Dengar Suara Hati Rakyat, KDN Haramkan Buku Hina Jata Negara
KUALA LUMPUR, 2 Julai – “Terima kasih Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendengar suara hati rakyat dan pantas buat tindakan melarang pengedaran dan penerbitan buku yang menghina Jata Negara yang merupakan lambang dan maruah kedaulatan negara.”
Demikian tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung tindakan KDN mengharamkan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia’ yang muka depannya memaparkan gambar menyerupai Jata Negara dan diubahsuai.
“Harap selepas ini, lebih proaktif mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk penerbitan yang dianggap menghina dan meremehkan simbol-simbol dan perlambangan kedaulatan negara.
“Agak-agak kalau zaman Kerajaan PH dahulu, apakah tindakan pantas yang serupa berlaku atau tidak?” soalnya menerusi kenyataan pendek dalam laman facebooknya, hari ini.
Terdahulu, pelbagai pihak termasuklah Pergerakan Pemuda UMNO sendiri dan badan bukan kerajaan (NGO) telah membantah berkaitan penerbitan buku yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap logo Jata Negara malahan pihak polis mengesahkan menerima 32 laporan berhubung isu itu daripada pelbagai pihak di seluruh negara.
Ekoran dari itu, sebanyak empat kertas siasatan dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UMNO Online