Calon BN PRK Chini Berpaksikan Dinamik Politik Semasa – Mohamad


KUALA LUMPUR, 2 Julai – Walaupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini boleh dianggap kerusi selamat bagi Barisan Nasional (BN), namun calon yang diketengahkan daripada UMNO mengambil kira perubahan serta dinamik politik semasa hari ini yang telah berubah.

Maka di atas dasar itu calon BN, Sharim Md Zain yang merupakan anak peneroka telah dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hari ini dinamik politik semasa telah menuju ke arah satu perubahan yang jelas yang mana perlu mengambil kira pelbagai aspek terutama kehendak masyarakat serta turut mengambil kira pemimpin pelapis untuk parti.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya menjelaskan parti mestilah menghidangkan sesuatu yang boleh diterima oleh rakyat dan keutamaan parti sudah tentu adalah untuk menang sekaligus membantu masyarakat di luar sana.

“Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) serta PRK-PRK sebelum ini kita memilih calon yang kita fikir boleh menang dan keutamaan kita adalah mahu menang .

“Bukan keutamaan kita memberikan peluang kepada sesiapa tetapi parti mesti menang” katanya.

Justeru jelas beliau walaupun PRK Chini merupakan apa yang boleh disifatkan sebagai kerusi selamat tetapi BN tetap mahukan sesuatu perubahan.

“Kita mesti menghidangkan sesuatu yang boleh diterima oleh rakyat. Maka sekarang ini dalam masyararakat Felda itu mereka mahu supaya anak Felda itu sendiri dan masyarakat Felda mewakili mereka.

“Jadi itu nombor satu dan keduanya di peringkat mana…jadi kita lihat bahawa inilah masanya untuk kita menonjolkan bakat baru anak muda yang juga mempunyai peribadi serta kewibawaan yang baik terutama aktif dalam berpesatuan Belia Felda Wilayah 4 dan macam-macam maka ini calon yang kita rasa boleh diterima dan boleh ditonjolkan,” ujarnya .

Beliau berkata demikian pada program Kabo Chini yang disiarkan secara Live menerusi UMNO Online. Program tersebut dihoskan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Menjelaskan lebih lanjut Mohamad seterusnya memberitahu penekanan utama dalam pemilihan seseorang calon ialah ianya diterima oleh pengundi serta pada masa yang sama menonjolkan bakat baru supaya proses pelapis kepimpinan dalam parti terutamanya dapat dilakukan.

Pada masa yang sama tambahnya parti tidak mahu terikat dalam norma-norma yang lama kerana masa telah berubah dan parti mesti mengikut dinamik politik semasa malah jangan pula tersangkut kaki dengan dinamik politik yang lama.

Jelas beliau lagi perubahan di luar sana cukup cepat dan UMNO mesti melihat perkara ini malah mesti berupaya membaca apa dinamik politik di luar sana dan jangan ketinggalan serta ambil peluang berkenaan.

“Kita tidak boleh ikut atau tersangkut atau duduk dalam kepompong lama . Ini tradisi kita mesti ikut macam tu…tak…itu sebabnya kita kadang-kadang bermasalah dengan pengundi dan rakyat kerana mereka nampak kita tidak berubah.

“Rakyat nampak kita masih lagi duduk dalam kepompong lama , pemikiran lama dan rakyat telah berani dan tanpa segan silu untuk mengubah kerajaan”, katanya.

Justeru tegas beliau untuk UMNO atau BN dan Muafakat Nasional kita mesti berupaya menyesuaikan keadaan politik semasa.

“Apa kehendak politik semasa…kehendak masyarakat semasa…kehendak pengundi dan bacaan-bacaan ini kita mesti ada kerana nanti orang kata akan syok sendiri dan akhirnya kita tersungkur.

“Dalam masa sebegini UMNO dalam keadaan membina semula kekuatan, kita mesti juga berupaya mengenalpasti kehendak semasa serta kemampuan parti . Jadi ini kita mesti pertemukan di satu ttitik pertemuan. Jadi kombinasi kedua ini dijadikan satu ramuan yang boleh melihat kita kembali perkasa dan boleh diterima oleh orang ramai,” ujarnya. –UMNO Online

Oleh : Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.