Agenda Tingkat Ekonomi, Kebajikan Rakyat Fokus Utama Mohd Sharim

PEKAN, 2 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain bertekad menaik taraf ekonomi setempat, memenuhi keperluan golongan muda dan menjaga kebajikan golongan dewasa.

Kesemua perkara tersebut katanya akan menjadi fokus untuk dirinya sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Sabtu nanti selain menjadi ‘jambatan penghubung’ antara kedua-dua generasi tersebut.

“Apabila saya diberi mandat antara fokus adalah golongan muda, dari segi pembangunan perumahan dan juga ruang untuk generasi muda.

“Dan juga berkaitan tentang ekonomi yang kita akan beri fokus untuk meningkatkan dari segi apa yang telah diusahakan oleh usahawan-usahawan dan juga masyarakat di sini.

“Selain daripada itu, bagi warga emas saya melihat penumpuan dari segi kebajikan maksudnya dari segi keperluan (rawatan) sakit yang perlu dititikberatkan,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya juga, kewujudan kilang kertas di Paloh Hinai merupakan satu peluang yang perlu digarap oleh anak-anak muda.

“Antara kita tengok hasrat orang muda hari ini mahukan peluang pekerjaan. Ada satu ruang juga apabila sebuah kilang kertas yang akan wujud di Paloh Hinai.

“Itu salah satu untuk membantu orang muda belum bekerja dan kita akan berusaha bagaimana mereka ini dapat bekerja di kilang kertas ini kerana pada peringkat awal pekerja seramai 210 pekerja dan dalam tempoh masa lima tahun kilang ini akan memerlukan pekerja seramai tiga ribu orang,” ujarnya.

Isnin lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan komitmen memenuhi keperluan masyarakat setempat apabila bersetuju dengan cadangan Mohd Sharim antaranya menaik taraf kemudahan dan infrastruktur Klinik Kesihatan Chini dengan mewujudkan pusat hemodialisis, kemudahan x-ray, naik taraf wad kecemasan dan penambahbaikan sistem pendawaian.

Perkara sedemikian diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam siri lawatannya ke hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

Berhubung dengan kempen PRK yang berbaki dua hari lagi, pelbagai golongan dan lapisan masyarakat telah ditemui dan disantuni oleh Mohd Sharim.

Kata generasi kedua Felda Chini 3 itu, penerimaan masyarakat yang amat positif sepanjang berkempen ternyata telah memberikan beliau semangat untuk berkhidmat dengan sebaik-baiknya.

“Bagi saya, apabila kita turun berkempen Alhamdulillah saya melihat sambutan masyarakat menerima baik saya selaku calon BN.

“Bagi saya kepercayaan masyarakat DUN Chini ini terhadap parti BN sangat tinggi untuk meneruskan (khidmat) di kawasan (milik) BN itu sendiri,” ujarnya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

BN menampilkan Mohd Sharim Md Zain, 41, Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.

Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat dicabar dua calon Bebas.

Usahawan muda itu amat menyanjung tinggi Allahyarham Abu Bakar, yang digelarnya sebagai ‘ayahanda’ dan ‘mentor’ dalam kepimpinan dan seterusnya mampu menjadi penyambung legasi perjuangan penyandang DUN Chini itu. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.