UMNO Terima Surat Dari Palestin Tentang Pelan Provokatif Zionis

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan telah menerima surat khas daripada bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh, mengenai isu terbaharu babitkan penduduk Palestin.

Katanya, surat tersebut telah disampaikan oleh wakil beliau, Muslim Imran, malam tadi.

“Surat seumpama itu juga disampaikan kepada pemimpin dunia Islam termasuk pemimpin parti politik,” maklumnya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Katanya, mesej surat Ismail Haniyeh yang juga Ketua Hamas menekankan tujuh perkara yang menyatakan:

Kerajaan Zionis sekali lagi terus melakukan kezaliman melalui pelan pengilhakan (annexation) 30 peratus bumi Tebing Barat dan Lembah Jordan yang ditukar menjadi penempatan haram pendatang Yahudi. Sekali lagi tanah milik ummah akan dijarah dan dicuri serta diiktiraf sebagai milik kuasa penjajah.

Tanah berkenaan adalah kawasan penting sumber pertanian dan air bagi penduduk Palestin. Jika dirampas Israel, rakyat Palestin akan lebih terancam dengan kehilangan sumber makanan dan air. Israel sengaja memilih kawasan ini bagi melakukan penghapusan etnik Arab-Palestin.

Hamas ingin memberi penekanan pada hal-hal pencabulan keji hak asasi manusia ke atas Palestin. Rancangan ini seolah-olah memberi ‘lesen’ kepada Tel Aviv untuk meneruskan kekejamannya dengan sokongan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Pelan provokatif Israel pada 1 Julai ini seolah-olah dihalalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mampu menyekat kuasa veto Amerika bagi masyarakat dunia mengecam rejim Yahudi ini.

Pemimpin Hamas itu mahu semua kerajaan Islam, parti politik dan organisasi di seluruh dunia sepakat memperjuangkan hak rakyat Palestin menerusi pelbagai pendekatan termasuk persidangan dan pelan khas.

Ismail mahu semua parti dan organisasi politik Arab dan Islam menolak serta menyekat aktiviti normalisasi hubungan Israel dengan mereka berikutan pelan penjajahan Kerajaan Zionis itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.