Isu Palestin: UMNO Terus Beri Sokongan, Harap Masyarakat Antarabangsa Ambil Serius – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa UMNO dan Malaysia akan terus memberi sokongan serta berharap masyarakat antarabangsa akan menangani isu Palestin ini dengan serius.
Tegasnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi hak rakyat Palestin.
“Keputusan Israel untuk ambil alih secara paksa 30 peratus tanah Palestin mesti dihentikan segera. Ini adalah langkah yang salah oleh Tel Aviv. Palestin pasti tidak ada pilihan melainkan mempertahankan tanah mereka dan ini boleh menyebabkan konfrontasi yang lebih serius. Ianya mesti diselesaikan secara diplomatik dengan penyertaan kuasa-kuasa besar,” ujarnya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika menjadi peserta persidangan online (dalam talian) antarabangsa mengenai isu Palestin bersama pemimpin-pemimpin kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan dunia, malam tadi.
Katanya, beliau menyuarakan pandangan bahawa Palestin sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia.
“Berharap PBB akan mencapai penyelesaian yang baik dalam masa terdekat. Kami di Malaysia sentiasa menyokong dan mendokong perjuangan rakyat Palestin. Dunia Islam mesti bersatu untuk membebaskan mereka dari kekejaman Israel,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online