Drama Perebutan Jawatan PM Kalangan PH Menyesakkan Rakyat – Anuar


PEKAN, 30 Jun – Pengerusi Pembela Felda, Anuar Abd Manap berkata drama perebutan jawatan perdana menteri di kalangan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) baik ketika menjadi kerajaan mahupun kini kembali ke blok pembangkang benar-benar menyesakkan rakyat.

Katanya, isu pertelingkahan politik yang berkisar kepada dua tiga individu berdekad lamanya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada generasi akan datang.

“Kita melihat kenyataan-kenyataan ini (perebutan jawatan) bersifat politik tetapi sebenarnya ia memberi kesan yang menyesakkan rakyat.

“Kita tidak berminat perkara sebegini tetapi inilah yang berlaku. Politik Malaysia telah berpanjangan kerana dua tiga orang ini termasuklah Tun (Dr Mahathir Mohamad) sendiri. Sampai bila? Bidas Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang itu.

Jelasnya lagi kepada UMNO Online, sewajarnya rakyat dan generasi baharu sedar serta mampu berfikir parti mana yang lebih baik.

“Generasi kita pada hari ini sepatutnya sedar dan faham. Rakyat Malaysia sepatutnya dapat berfikir dengan lebih baik bila berlakunya pilihan raya umum nanti dapat menentukan parti mana yang sepatutnya mereka pilih dan pemimpin mana yang sepatutnya diikut.

“22 bulan lepas sudah terima bermacam pelajaran dan pengajaran. Jadi sepatutnya kita kena berhati-hati jangan pisang berbuah dua kali,” katanya lagi.

Berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Anuar berkata penerimaan rakyat terhadap calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain amat baik.

“Apatah lagi calon yang kita pilih ini anak peneroka dan generasi baru. Dan kalau kita lihat yang turut sama berkempen orang-orang muda dan mereka bergerak dengan baik dan mudah kerana calon anak tempatan.

“Apa sahaja program dan aktiviti yang dilaksanakan bersama-sama. Terima kasih pihak-pihak yang membantu terutamanya di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Isu-isu berkaitan dengan Felda dan kemasyarakatan ini walaupun tidak dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi dapat disalurkan dengan saluran yang betul bila menteri, Pengerusi Felda termasuk pengurusan Felda berusaha menyelesaikan isu-isu yang dikeluarkan,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.