BN Jangan Terlalu Yakin, Kerja Seperti Biasa… Pesan Ahmad Maslan Kepada Jentera PRK Chini

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi mengingatkan jentera parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini agar tidak terlalu yakin dengan kedudukan semasa menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Menurut beliau apa yang penting usaha dan gerak kerja diteruskan dari semasa ke semasa dan parti juga turut mengatur beberapa ceramah termasuklah ceramah Muafakat Nasional serta program bersama anak muda dalam tempoh terdekat.

“Kita beryakinan Barisan Nasional (BN) akan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK). Suasana di kawasan mengundi dipenuhi dengan warna biru manakala lambang kunci dan rumah tidak jumpa. Alhamdulillah dan ini petanda baik namun jangan terlalu ‘over confident’.

“Minggu-minggu terakhir kempen terus rancak dengan ceramah diteruskan mengikut SOP yang ditetapkan termasuklah ceramah Muafakat Nasional yang akan diadakan pada Khamis nanti dengan kehadiran Timbalan Presiden daripada UMNO dan PAS. Kemudiannya pada Jumaat malam Sabtu kita ada lagi program dengan anak-anak muda bersama Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan lain. Jangan lupa kita bersama untuk mendengar kupasan menarik daripada pimpinan pelbagai peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program ‘Kabo Chini’ yang disiarkan secara ‘Live’ menerusi Facebook UMNO-Online. Program tersebit dihoskan oleh Datuk Nor Azizan Abdul Majid.

Pada program itu Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian turut merayu agar pengundi yang berada di perantauan untuk pulang mengundi pada hari pembuangan undi 4 Julan depan.

“Pulanglah anak perantau dan pulanglah anak Chini di perantauan untuk membuang undi. Kepada para pengundi masing-masing perlu keluar awal kerana mengikut SOP apa yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengelakkan kesesakan di pusat-pusat pengundian.

Ahmad Maslan turut mengimbau bagaimana kejayaan Felda hari ini yang mana pelbagai kejayaan telah dapat dilihat dan dirasai.

“Usaha Datuk Seri Najib yang juga bekas Perdana Menteri serta Ahli Parlimen Pekan untuk membina Felda ini menjadi masyarakat luar bandar, masyarakat Melayu terbaik di luar bandar dan itu hampir berjaya.

“Kita lihat kejayaan-kejayaannya. Ada banyak pembangunan yang kita buat macam-macam dalam Felda. Felda Chini 1, 2, 3, 4, 5… Chini Timur 1, 2, 3 macam-macam ada di kawasan Felda ini… Alhamdulillah.

“Malah tidak tertinggal kampung tradisional dan juga masyarakat Orang Asli. Masyarakat Orang Asli kita ada jabatan khas… Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Masyarakat tradisional kita ada kementerian khas Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Segalanya teratur dengan baik oleh kerajaan BN, Perikatan Nasional tapi kerajaan yang tidak guna satu sen adalah kerajaan PH-Dap,” tambahnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.