Pengundi Jangan Mudah Terpedaya Taktik Simpati Calon Bebas – Noraini


PEKAN, 29 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad menasihati pengundi agar tidak mudah terpedaya jika wujud taktik simpati yang ditimbulkan oleh calon Bebas di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Begitu juga kata Menteri Pengajian Tinggi itu, rakyat diseru agar tidak terpengaruh kepada janji-janji palsu yang ditimbulkan oleh mereka.

“Kepada pengundi-pengundi di DUN Chini ini jangan mudah terpedaya sebab kita harus melihat sejarah parti-parti yang bertanding. UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah terbukti melalui sejarah sebelum ini berbakti dengan sebaik mungkin.

“Jadi saya harap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan janji-janji palsu dari mereka yang bertanding atas tiket Bebas.

“Lagi satu kredibiliti parti berkenaan, mereka tidak membawa apa-apa parti sebab bertanding atas tiket diri sendiri dan Insya-Allah dalam BN mempunyai satu sistem di mana kita akan membantu satu sama lain,” ujarnya kepada UMNO Online ketika ditemui di Rumah UMNO Felda Chini Timur 1 di sini.

Berhubung dengan gerak kerja Wanita, Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata mereka sentiasa bekerja keras menyantuni pengundi-pengundi walaupun yakin kemenangan berpihak kepada BN.

“Alhamdulillah, jentera Wanita sentiasa bekerja keras untuk meraih undi di DUN Chini, walaupun Insya-Allah kita akan menang tetapi gerakan menyantuni pengundi-pengundi tetap kita jalankan.

“Sekarang ini kita masuk ke peringkat fasa yang kedua, akan dapat respon dan kemudian membuat perbincangan berdasarkan respon berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai beberapa garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Noraini berkata perkata tersebut bukan satu masalah.

“Kita ikut dan anggap itu cabaran yang harus Wanita UMNO turut dan patuhi. Insya-Allah Wanita UMNO sentiasa mematuhi SOP-SOP berkenaan. Gerak kerja ini sebenarnya bermula sebelum PKP,” katanya.

Untuk rekod, pengundi wanita di Chini berjumlah 10,721 orang yang meliputi 51 peratus daripada jumlah pengundi Chini manakala pengundi lelaki adalah pada 49 peratus dengan 10,267 orang.

SPR menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai ini manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

PRK DUN Chini merupakan PRK yang pertama diadakan ketika negara masih dalam penguatkuasaan PKP ekoran penularan wabak COVID-19 sejak Mac lalu, yang kini memasuki fasa pemulihan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.