Laporan Polis: Pemuda UMNO, MCA, MIC, PAS Bersolidariti Kecam Penghinaan Terhadap Jata Negara


KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO bersama-sama Pemuda MCA, MIC dan juga PAS hari ini bersolidariti tampil membuat laporan polis terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menghina Jata Negara.

Kata Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi menjelaskan tindakan ini merupakan satu tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia terhadap Jata Negara yang yang telah dihina.

“Jata Negara merupakan lambang kedaulatan negara. Ini bukan soal agama, soal bangsa dan apa-apa yang berkaitan dengan ini tetapi ia merupakan isu yang sensitif yang kita sebagai rakyat Malaysia kena faham bahawa ini sudah melampau.

“Kalau kita tengok sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) inilah elemen-elemen yang cuba dimasukkan untuk ‘destabilize’ negara kita… hari ini ada yang tidak menyokong kerajaan tapi sebagai sebuah negara demokrasi tidak apa… tetapi bila penghinaan terhadap logo yang menunjukkan lambang kedaulatan negara kita dibuat maka ini sudah melampau,” tegasnya semasa sidang media di hadapan Balai Polis Dang Wangi, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Nizham meminta kerajaan hari ini mengambil tindakan yang tegas terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga agensi-agensi berkaitan terhadap mereka yang menghina lambang Jata Negara.

Bagi Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata perkara ini menggugat dan mencabar negara dan ia sengaja dicipta untuk menghadapi PRU-15 yang akan datang.

“Saya harap pihak KDN menyiasat lebih ‘detail’ lagi, seperti mana yang kita maklum buku ini diterbitkan sebelum 2019… kita masih lagi menunggu jawapan rasmi dari pihak KDN.

“Adakah  ini ada kelulusan dari KDN atau tidak atau buku ini hanya dijual di luar negara saja?” soalnya.

Jelas Azri lagi, maklumat awal yang didapati bahawa buku ini dijual di dalam talian seperti Lazada, Shopee dan sudah pasti sudah ada di pasaran Malaysia.

“Kami semua mendesak pihak KDN untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghentikan propaganda yang menghasut rakyat untuk membenci dan menghina Jata Negara khususnya kerajaan Malaysia hari ini,” katanya.

Sementara itu Exco Pemuda PAS Pusat, Fauzuddin Mohd Zai menegaskan bahawa ini adalah percubaan awal untuk memberikan ancaman kepada negara kerana Jata Negara adalah kedaulatan kepada negara.

“Kita percaya ini hanya permulaan dan akan datang lagi serangan lebih dahsyat daripada ini kepada kedaulatan negara kita.

“‘Enough is enough’ setakat ini saja mereka boleh melampaui batas… kerana kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira dari parti pembangkang atau kerajaan untuk kita bersama-sama dan jangan biarkan lagi ‘bajingan-bajingan’ ini menghina dan juga mencabar kedaulatan negara.

“Sekiranya mereka ‘langgar’ lampu merah dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengadakan himpunan lebih besar dari ICERD dan sekiranya mereka melampaui batas lebih yang berlaku pada hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pemuda MIC, Theeageesh Ganesan mengharapkan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap penulis buku yang menghina Jata Negara.

“Kami menyokong dan mengharap pihak PDRM mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melakukannya.

“Kami seru Pemuda MIC di seluruh negeri untuk membuat laporan polis dan kami akan terus bersama dengan Pemuda BN dan PAS bertindak untuk apa-apa yang sepatutnya hendak buat,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial pengguna berkongsi satu pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books di pautan [https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3961434060565004&id=597490066959437] yang mengiklankan sebuah buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” (ISBN : 9789672165811) disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.