Kerajaan Komited Beri Khidmat Kesihatan, Rawatan Terbaik Kepada Penduduk Chini – Dr Adham


PEKAN, 29 Jun – Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa membuat persiapan dan kesiapsiagaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan yang terbaik kepada rakyat, ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Sebagaimana dalam siri-siri lawatannya sebelum ini ke hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara bagi penambahbaikan infrastruktur, tidak terkecuali juga di Klinik Kesihatan Chini yang telah memberikan perkhidmatan terbaik bagi rakyat di sini, katanya.

“Keperluan yang dirasakan penting untuk dilaksana ialah berkaitan keperluan rawatan kecemasan iaitu ‘emergency bay’. Keperluan tersebut perlu memandangkan jarak untuk menghantar sekiranya ada kes-kes kecemasan yang jauh ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan ataupun ke Hospital Pekan.

“Kita juga dapati perlu bahagian radiologi, mesin x-ray untuk diagnosis. Sebelum itu, usia bangunan perlu diambil kira dengan melihat kaedah sistem pendawaian sumber tenaga yang penting dengan memperkukuhkannya,” ujarnya kepada media selepas melawat Klinik Kesihatan Chini di sini, hari ini.

Sebelum itu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara melawat Klinik Kesihatan Sungai Lembing dan Gambang, di Kuantan.

Tambah Dr Adham lagi, melihat kepada keperluan setempat, kerajaan bersetuju untuk membangunkan sebuah pusat hemodialisis di Chini.

“InsyaAllah pusat hemodialisis ini berfungi kerana keperluan yang memang mendesak dan Kementerian Kesihatan sentiasa membuat persiapan dan kesiapsiagaan supaya rawatan terbaik kepada pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang dan memerlukan rawatan diutamakan.

“Pusat dialisis akan dibina di kawasan ini kerana tapak yang ada di sini cukup. Kita kena lihat kepada persediaan untuk membuat proses-proses tender, sekiranya tidak ada masalah perakuan spesifikasi bangunan dan mesin-mesin hemodialisis terkini untuk berikan keselesaan kepada pesakit.

“Kita lihat sekurang-sekurangnya sepuluh mesin hemodialisis. Pusat itu juga perlu ada satu kawasan yang menyediakan air yang dirawat (R.O) dan tempat doktor yang datang untuk merawat sekiranya ada kes-kes kecemasan,” tambahnya.

Mengenai undi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada hari esok, Dr Adham berkata KKM akan menempatkan beberapa pegawai kesihatan di pusat mengundi.

“Kita tahu bahawa dalam pilihan raya, prosedur operasi standard (SOP) itu penting. Kita masih terikat dengan garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Kakitangan KKM telah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sedia membantu dari segi teknikal.

“Penggunaan pakaian perlindungan peribadi (PPE), elemen-elemen penjarakan sosial dan bagaimana kertas undi boleh dibuat melalui kaedah-kaedah yang paling selamat supaya tidak ada risiko jangkitan COVID-19 di mana-mana juga dalam kawasan yang kerap disentuh,” katanya lagi.

Dr Adham juga menjunjung kasih dan merafak sembah atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang berkenan membantu membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang terbakar petang semalam. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.