Hina Jata Negara Tindakan Biadap, KDN Mesti Rampas Dan Tamatkan Permit Percetakan


KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera dengan menangkap, menyiasat dan mendakwa individu mahupun kumpulan yang terlibat dalam menghina Jata Negara di bawah Akta Hasutan.

Kata Ketuanya, Datuk Zahid Zarik Khan, Puteri UMNO juga mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera dengan merampas dan menghentikan serta-merta permit pencetakan syarikat yang terlibat dengan penerbitan buku tersebut.

“Kami percaya buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ sudah diterbitkan dan diluluskan pada era Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Semua maklum Jata Negara adalah lambang rasmi yang turut digunakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi perbuatan menghina ini secara tidak langsung seolah-olah tidak menghormati dan cuba memijak-mijak institusi tertinggi negara,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya juga, negara tidak memerlukan kumpulan ekstremis yang cuba untuk menanam doktrin,menyebarkan propaganda hingga menggugat kestabilan dan keamanan negara.

Tular di media sosial pengguna berkongsi satu pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books di pautan [https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3961434060565004&id=597490066959437] yang mengiklankan sebuah buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” (ISBN : 9789672165811) disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.