PRK Chini: Tidak Guna ’06’ Kalau Orang Itu Susah Untuk Rakyat Jumpa

PEKAN, 27 Jun – “Tidak kisah orang itu ’06’ atau tidak kerana yang penting adalah kita senang nak jumpa dia, dia ada untuk kita mengadu masalah,” ujar Ketua Penerangan UMNO Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Jelas beliau, tidak guna anak tempatan sekiranya orang tersebut sukar untuk ditemui rakyat.

Beliau berkata demikian ketika membantu berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Felda Chini 5 malam tadi.

“Tak penting orang itu daripada mana yang penting orang itu bersedia dan sanggup untuk menjadi pembela kepada masyarakat setempat sebagaimana calon yang telah dipilih oleh Barisan Nasional (BN).

“Orang lain belum tentu lagi. Dia hanya calon Bebas dan kita tidak tahu sejauh mana bebasnya dia. Calon bebas hanya canang cerita calon BN bukan orang sini.

“Apa dia nak buat untuk orang Chini, itu yang kita hendak tahu,” bidas beliau.

Tambah Syed Ibrahim, BN telah membuktikan bahawa BN sentiasa membela nasib rakyat.

“Orang yang datang sini dulu tidak ada tempat. Pemimpin kita yang fikir apa cara nak bantu maka datanglah Tun Razak. Dia tebuk hutan Chini, dia bagi hutan Chini, rumah dan tanah supaya kita boleh berkeluarga.

“Siapa itu Tun Razak? Itulah pucuk pimpinan BN pada ketika itu dan tradisi inilah yang terus-menerus diwarisi oleh BN.

“Tapi apa boleh buat, kerana ada orang yang tidak berpuas hati, cemburu dengan kepimpinan negara kita, Maka terjadilah Apa yang terjadi pada PRU-14,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.