Sejarah Buktikan Calon Bebas Tak Mampu Bawa Suara Rakyat – Najib

 

PEKAN, 26 Jun – Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sejarah membuktikan tidak ada seorangpun calon Bebas yang mampu membawa suara rakyat dengan baik.

Jelas beliau, ini kerana sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan dalam negara ini asasnya adalah parti.

“Saya nak beritahu, Kalau kita (pengundi) nak buat keputusan pada 4 Julai nanti, kita kena tahu sistem demokrasi asasnya adalah parti dan parti yang mendapat kerusi terbanyak akan tubuh kerajaan baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Jadi, kita boleh fikirkan mana satu parti yang selama ini boleh kita bergantung harap membela untung nasib kita selama ini. Kalau jawapannya Barisan Nasional (BN) maka sokong calon BN Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ini.

“Lagi satu, dalam sejarah tanah air tidak ada calon Bebas yang boleh membela nasib penduduk… yang boleh bantu kita ubah untung nasib kita. Kalau jumpa calon bebas minta tandatangan surat, tidak ada kesan,” ujar beliau ketika berucap memperkenalkan calon di Dewan Mempelas, Salong, di sini hari ini.

Tambah Najib yang juga merupakan Ketua UMNO bahagian Pekan, calon BN disokong oleh parti yang terbukti membela nasib rakyat, maka pengundi harus memilih dengan bijak pads hari pengundian nanti.

Mohd Sharim Md Zin adalah calon yang dipilih BN bagi bertanding mempertahankan kerusi DUN Chini pada 4 Julai depan.

PRK Chini menyaksikan tiga penjuru iaitu calon BN, Mohd Shahrim, 41 dan dua calon Bebas; Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK Chini adalah pilihan raya pertama yang diadakan sejak negara dilanda wabak pandemik COVIS-19.

Ia diadakan susulan kematian penyandang bagi DUN berkenaan, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.