PRK DUN Chini: Sentimen Rakyat Amat Positif, Yakin Kepada BN – Najib


PEKAN, 25 Jun – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak gembira melihat kecenderungan dan sentimen rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan calonnya yang amat positif.

Kata Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini itu, banyak faktor penyumbang antaranya seperti penolakan terhadap calon Bebas serta rekod perkhidmatan yang baik dari BN.

“Alhamdulillah saya lihat bahawa ‘mood’ dan sentimen amat positif ke arah BN, calon kita Mohd Sharim banyak faktor yang memihak kepada kita antaranya sudah tentu tahap keyakinan mereka kepada calon bebas amat rendah.

“Kedua, dari segi rekod perkhidmatan kita, sejarah pembelaan rakyat memang tidak boleh banding (Bebas) dengan BN,” katanya kepada media sebaik selesai Majlis Pelancaran dan Penyerahan Borang Ibu Tunggal DUN Chini di Dewan Semai Bakti Chini 5, di sini, hari ini.

Begitu juga katanya, BN menampilkan calon yang mewakili kumpulan majoriti pengundi di DUN Chini.

“Kita ada seorang calon mewakili generasi kedua dan pilihan raya ini lebih kurang 56 peratus terdiri daripada 40 hingga 21 tahun, belia.

“Jadi ini merupakan satu faktor yang besar yang mana calon kita boleh dianggap sebagai mewakili kumpulan ini,” tambah Perdana Menteri Keenam itu.

PRK DUN Chini ini BN menampilkan Mohd Sharim Md Zain, 41, generasi kedua Felda Chini 3 yang merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.

Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat akan dicabar dua lagi calon Bebas.

Pagi tadi, BN meneruskan siri kempennya ke perkampungan masyarakat Orang Asli di Kampung Bendaling dan Kampung Tasik Mentiga, di sini.

Berhubung dengan wujud desakan supaya diadakan pilihan raya umum (PRU) dengan lebih awal demi kestabilan politik negara, Najib berkata ia merupakan satu jalan penyelesaian yang tuntas tetapi hendaklah pada masa yang sesuai.

“Saya nampak penyelesaian mesti ke arah PRU cuma bila yang sesuai. Tapi pokok pangkalnya ia tidak boleh lari daripada mendapat mandat dari rakyat sebab kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen mesti berasaskan kepada sokongan rakyat dan rakyat memilih wakil-wakil ahli Parlimen yang boleh membawa kepada kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Kalau kita merasakan pilihan raya itu menelan belanja yang besar, ada sebut angka RM600 juta, RM700 juta tapi kalau kita tidak mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil, kesannya lagi buruk kalau nak diukur dari segi nilai ekonomi, jauh lebih besar dari angka kos pilihan raya.

“Misalnya kalau tidak ada pelabur, bursa saham jatuh, perlu buat pinjaman tambahan dan sebagainya ini menyebabkan ekonomi kita kian merudum. Tentu sekali lebih besar kesannya daripada membuat pilihan raya,” tambahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.