Segerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja, Penting Untuk Pulihkan Imej Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyokong gesaan daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memulihkan kembali imej Tabung Haji.

Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir berkata, penubuhan RCI ini bagi membolehkan satu siasatan secara telus mengenai sama ada benar atau tidak berlakunya penyelewengan dalam pentadbiran Tabung Haji selama ini.

Jelasnya, semasa kerajaan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), hampir setiap hari institusi kebanggaan umat Islam di negara ini iaitu Tabung Haji dilemparkan dengan pelbagai tuduhan.

“Mereka menuduh kononnya berlaku penyelewengan dana pengurusan Tabung Haji semasa Barisan Nasional (BN) menjadi Kerajaan. Malah, lebih teruk dari itu, mereka memfitnah pemimpin BN sebagai mencuri wang umat Islam di Malaysia menerusi Tabung Haji.

“Walhal, apa yang menghairankan hingga kini masih tidak ada seorang pun yang berjaya diheret ke mahkamah oleh PH bagi setiap tuduhan yang dilemparkan mereka. Ini mendatangkan perasaan `pelik bin ajaib’.
“Akibat dari tuduhan itu, PH menjadikan pendeposit sebagai mangsa dan sekiranya sebelum ini dividennya tidak kurang 6% tetapi ia menurun mendadak ketika PH mentadbir, ini dilihat adalah satu helah yang bertujuan untuk memalukan Tabung Haji,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan tidak mahu sebuah institusi yang dihormati dan dikagumi di dalam dunia Islam menjadi mangsa kerakusan politik PH.

“Demi drama politik, mereka sampaikan sanggup menjual pelbagai aset Tabung Haji semata-mata mahu mengesahkan tuduhan mereka itu,” ujarnya.

Katanya, dengan RCI, semua tuduhan PH akan terjawab dan kerakusan mereka menjual aset Tabung Haji selama 22 bulan mereka mentadbir kerajaan juga boleh disiasat secara telus dan terbuka.

“Akhirnya, yang kita mahukan adalah untuk kembalikan keyakinan pelabur dan pendeposit terhadap Tabung Haji kerana jika kedudukan kewangannya berada pada tahap yang baik, ia sudah pasti akan memberi manfaat kepada pendepositnya dan melancarkan perancangan kewangan mereka untuk menunaikan rukun Islam yang kelima,” ujarnya lagi.

“Kita juga mahu membela hak setiap anggota pekerja di dalam Tabung Haji. Apabila ada tuduhan wujudnya penyelewengan, seolah-olah anggota pekerja dan pengurusan kanan di dalam Tabung Haji tidak ada integriti dalam menguruskan dana awam, kerana itulah perlunya satu siasatan yang telus bagi mencari kebenaran daripada tuduhan ini.

“Biarlah apa pun keputusannya, kami yakin pemimpin Barisan Nasional dan anggota pekerja Tabung Haji tidak ada apa yang mahu disorokkan. Yang mereka mahukan hanyalah untuk menegakkan kebenaran kerana Islam itu menolak fitnah. Malah Islam menganggap fitnah itu lebih besar dari membunuh. Jadi, tegakkanlah kebenaran, jangan kita biarkan Tabung Haji menjadi mangsa kepada fitnah,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.