PRK DUN Chini: Aspirasi Rakyat Jadi Keutamaan Mohd Sharim – Nizar Najib


PEKAN, 23 Jun – Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dikategorikan sebagai ‘kubu kuat’ Barisan Nasional (BN), parti tidak pernah mengambil mudah dan selesa di dalam menjalankan aktiviti berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut.

Sejak hari pertama lagi, BN dan calonnya, Mohd Sharim Md Zain giat berkempen menyantuni semua golongan masyarakat dengan pelbagai pendekatan dan dilaporkan meliputi hampir 40 peratus pengundi walaupun baru memasuki hari keempat.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib, masyarakat amat menerima baik akan kehadiran BN dan Mohd Sharim.

“Saya lihat penerimaan masyarakat sangat positif. Calon pun telah mengambil langkah-langkah proaktif menziarah mereka yang sakit kronik, mengunjungi pemimpin-pemimpin blok Felda, Ketua Cawangan dan pemimpin-pemimpin yang berpengaruh.

“Kita ada tempoh berkempen sehingga lewat malam 3 Julai, saya percaya calon kita akan menggunakan masa yang diperuntukkan ini sebaik mungkin untuk mendedahkan diri kepada masyarakat.

“Di kelompok Felda tiada masalah baginya. Calon (juga) akan membuat program-program untuk mengenali masyarakat di kampung tradisi dan Orang Asli untuk menerangkan visinya untuk masyarakat Chini dan juga menyantuni mereka dengan baik, mendengar luahan dan aspirasi rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan hari pengundian biasa pada 4 Julai manakala pengundian awal pada 30 Jun ini yang melibatkan pertembungan tiga penjuru antara BN dan dua calon Bebas.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.

Seterusnya, mengulas mengenai jentera Pemuda, Nizar berkata ia berada di tahap yang terbaik membantu parti bagi memastikan kemenangan di pihak BN.

Nizar juga yakin Mohd Sharim mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat apabila dipilih kelak.

“Saya yakin dan percaya beliau ada kemampuan, keikhlasan, semangat untuk berbakti kepada masyarakat di DUN Chini ini kerana beliau telah membesar di sini dan kenal semua pemimpin di pelbagai peringkat dan belia.

“Dan saya percaya beliau dapat menyantuni ke semua lapisan masyarakat di DUN Chini ini, InsyaAllah,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.