PAS Chini Sokong Penuh Calon BN


PEKAN, 23 Jun – PAS kawasan Chini menyatakan komitmen memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Demikian penegasan yang diberikan oleh Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Chini, Haji Sarjuni Konting.

Katanya lagi, beliau amat bersyukur atas terbinanya perpaduan antara PAS dan UMNO yang merupakan impiannya sejak dahulu lagi yang kini bersama-sama mendukung Muafakat Nasional.

“Alhamdulillah, harapan saya dari dulu sebegitu. Daripada dahulu saya harapkan lebih baik kita bergabung dari berasingan sebab yang pertama saya mahu bangsa Melayu bersatu padu, tidak bercerai…bila bersatu hendak buat apa sahaja kita boleh laksanakan.

“Dulu kalau boleh bersatu Alhamdulillah, tapi sekarang ini sudah bersatu, Alhamdulillah,” tambahnya lagi.

Haji Sarjuni berkata demikian kepada media seusai solat Isyak berjemaah di rumahnya di Felda Chini 5, di sini malam tadi bersama Mohd Sharim dan kepimpinan PAS kawasan.

Beliau juga berharap Mohd Sharim dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Harapan saya kepada calon supaya beliau berkhidmat, pertama sekali tentang Islam kena jaga, kedua tentang kebajikan masyarakat perlu diutamakan.

“Ketiga, tentang ekonomi anak-anak peneroka ini yang ramai tidak ada pekerjaan dan keempat berkaitan tanah rancangan ini kalau hendak dibuka macam Terapai itu boleh dibuka. Dulu saya dah bincang dengan Yang Berhormat (Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun) hendaklah dibuka (tanah rancangan) untuk generasi yang kedua,” tambahnya lagi.

Haji Sarjuni juga menasihati Mohd Sharim agar menjaga hubungan yang baik dengan masyarakat dan mengambil perhatian terhadap kebajikan pendidikan anak-anak bangsa.

Manakala bagi Mohd Sharim, beliau menyambut baik serta mengambil berat pandangan dan buah fikiran Ketua PAS Kawasan Chini tersebut.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.