Kerajaan Telah Bayar RM40 Juta Kepada 40,000 Penerima BPN

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Sebanyak RM40 juta telah dibayar kepada 40,000 penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) melalui bayaran secara tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara bagi tempoh 12 hingga 19 Jun lepas, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Malah, kata beliau, sehingga 19 Jun lepas sebanyak 10.19 juta penerima BPN telah menerima bantuan tersebut yang membabitkan bayaran keseluruhan berjumlah RM10.88 bilion dengan tahap pelaksanaannya mencecah 97 peratus.

“Tambahan juga, pada minggu lepas saya telah berkongsi bahawa sebanyak 181,000 rayuan BPN yang diluluskan akan menerima bayaran berjumlah RM162 juta pada akhir bulan ini.

“Sukacita saya kongsikan bahawa bayaran-bayaran ini akan dibuat mulai esok iaitu 24 Jun, 2020. Saya berharap bantuan ini akan dapat meringankan beban kesemua bakal penerima BPN,” katanya ketika membentangkan Laporan ke-10 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata sebanyak 4.3 juta permohonan telah diluluskan di bawah program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja setakat 19 Jun, 2020, yang melibatkan dana sebanyak RM2 bilion sebulan.

Malah, kata beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini juga telah meluluskan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan berjumlah RM942 juta.

“Seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar, seramai 7.66 juta pengguna elektrik akan menerima manfaat daripada bantuan ini.

“Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna dengan bil elektrik kurang daripada RM77 atau di bawah 300kWj sebulan pula akan menikmati bekalan elektrik percuma,” katanya.

Beliau berkata bayaran Geran Khas PRIHATIN (GKP) sebanyak RM3,000 bagi setiap perniagaan mikro telah bermula sejak 15 Jun, 2020 manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang telah diluluskan selepas disemak lanjut akan menyaksikan bayaran dibuat mulai 29 Jun ini.

“Jumlah keseluruhan GKP yang dibayar adalah bernilai lebih kurang RM1.57 bilion dan ia akan memberi manfaat kepada sebanyak 524,446 PKS Mikro,” katanya.

Menurutnya, setakat 19 Jun lepas, permohonan Dana Pinjaman Mudah PKS yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS adalah RM8.2 bilion yang akan memberi manfaat kepada sebanyak 19,253 PKS.

“Di bawah Skim Kredit Mikro Bank Simpanan Nasional, sebanyak 6,742 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan yang bernilai RM236.4 juta manakala bagi program Tekun Nasional, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 22,843 yang bernilai RM174.63 juta,” katanya.

Menyentuh PENJANA, Tengku Zafrul berkata beberapa inisiatif berkaitan telah bermula pada bulan ini dengan beberapa lagi di peringkat awal pelaksanaannya.

Ini termasuk program subsidi upah yang ditambahbaik dengan peruntukan RM5.3 bilion dan inisiatif internet percuma satu gigabyte berjumlah RM3 bilion bagi mengalakkan aktiviti pendidikan dan produktiviti.

“Pada masa sama, pasukan Laksana bersama dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi pelaksana lain juga sedang giat memastikan soalan lazim, cara permohonan dan kelayakan inisiatif disampaikan dengan baik agar penerima dapat mengakses bantuan tersebut.

“Status pencapaian akan mula dikongsi setelah usaha pelaksanaan bermula secara berperingkat dalam masa terdekat,” kata beliau. – BERNAMA