Segerakan Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Untuk Tabung Haji – Dr Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar Kerajaan Baharu Perikatan Nasional (PN) dapat segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun RCI mengenai TH bukanlah sebahagian daripada janji Kerajaan PN (sebaliknya janji manifesto PH), namun rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh Kerajaan PH terdahulu.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah Haji atas justifikasi konsep Istitoah oleh bekas Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan umat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH.

“Terbaru pendedahan surat TH oleh Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menunjukkan dengan jelas bahawa Menteri Agama waktu itu Dr. Mujahid telah meluluskan hak perlucutan pertama ( First Right of Refusal) terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke UJSB, jelas mencetuskan keresahan rakyat.

“Harus diingat TH adalah institusi yang cukup bernilai di hati rakyat Malaysia. Sebelum PH memerintah, TH tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhannya yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.”

Tegasnya, kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.

“Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta agar Kerajaan PN dapat segera menubuhkan RCI bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online