‘Orang Lama Disantuni, Yang Muda Disayangi’, Mohd Sharim Tetapkan KPI Untuknya


PEKAN, 22 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain akan berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia.

Katanya, setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh rakyat akan diperhalusi dan ia menjadi suatu indeks pencapaian utama (KPI) kepada dirinya sekiranya terpilih sebagai ADUN di kawasan tersebut.

“Matlamat saya selaku orang muda, pertama saya meletakkan diri saya kepada orang yang lebih lama, maksudnya ‘orang lama disantuni, yang muda disayangi’.

“Itulah matlamat kita dan kita akan terus mendengar keluh-kesah semua lapisan masyarakat dan saya ambil sebagai KPI saya untuk gerak kerja sebagai wakil rakyat di masa hadapan.

“Jadi bagi saya, pastinya pengundi-pengundi memerlukan kepercayaan parti yang betul-betul boleh membela nasib rakyat di DUN Chini ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan ziarah kasih di Felda Chini 5, di sini petang tadi.

Turut sama Ketua Pemuda PAS Felda Chini 3, Ustaz Mohammad Iqbal Abd Majid yang juga merupakan Imam Masjid Felda Chini 3.

Ketika ditanya mengenai penerimaan masyarakat sepanjang berkempen yang memasuki hari ketiga, Mohd Sharim gembira dengan reaksi positif masyarakat.

“Bagi saya pada hari ini apabila turun (berkempen), Alhamdulillah seratus peratus mengenali diri saya dan saya meraih penuh restu dan sokongan masyarakat bagi memastikan kejayaan BN di N.23 Chini,” kata generasi kedua Felda itu lagi.

Berhubung dengan isu bekalan lampu jalan di jalan utama sepanjang 26 kilometer yang terputus, Mohd Sharim berkata masalah itu timbul kerana ia melibatkan tunggakan pembayaran bil yang ditanggung oleh peneroka dan beliau akan memperhalusi perkara tersebut bersama pihak Tenaga Nasional Berhad dan Kerajaan Negeri Pahang kerana ia melibatkan keselamatan pengguna.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.