“Memang Tepat… Bossku Buat Pilihan Hantar BN Juga, Apa Lagi Kita Hendak” – Pengundi


PEKAN, 22 Jun – Masyarakat Orang Asli amat menerima baik keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Menurut seorang pemimpin masyarakat Orang Asli di Kampung Gumum, Din Husin, 53, Mohd Sharim sememangnya layak menggantikan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun sebagai ADUN di kawasan mereka.

“Memang tepat. Kita di sini amat mengalu-alukan dan kitorang menunggu penamaan calon. Tunggu masa untuk mengundi sahaja.

“Bagi saya setakat ini dah tengok latar belakang dia, kita menerima sangatlah dia sebagai calon. Dia anak muda lagi 41 tahun…. amat mengharapkan,” katanya kepada UMNO Online.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan hari pengundian biasa pada 4 Julai manakala pengundian awal pada 30 Jun ini yang melibatkan seramai 20,990 orang pengundi.

Ketika ditanya mengenai penerimaan masyarakat Orang Asli terhadap Mohd Sharim, secara spontan Ketua UMNO Cawangan Kampung Gumum itu menjawab:

Its Okay… kita sudah bagi penerangan. Sekarang ini yang buat pilihan adalah Datuk Seri Bossku. Dia hantar bukan Bebas ker… PKR ker… dia hantar Barisan juga, jadi apa lagi kita hendak?

“Mana tahu akan datang mendatangkan kebaikan. Esok dia bagi sesuatu manfaat kepada Kampung Gumum ker… kita kata Alhamdulillah,” ujarnya lagi.

Gelaran Bossku tersebut merujuk kepada bekas Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menjadi fenomena serta reaksi positif rakyat negara ini pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hingga kini.

Tambah Din, beliau berharap agar Mohd Sharim akan tetap menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat Orang Asli supaya mampu berdaya saing dengan masyarakat lain.

Manakala bagi Kuyu Mat, 63, Ketua UMNO Cawangan Kampung Ulu Gumum berkata tidak timbul soal Mohd Sharim bukan anak kelahiran Chini kerana selain tidak menawarkan diri, pucuk pimpinan mencalonkannya atas rekod perkhidmatannya kepada masyarakat.

“Memang sesuai bagi saya sebab walaupun anak luar tetapi bermastautin di sini. Dia bukan minta (jadi calon) tetapi orang yang mencalonkannya, dari Menteri Besar dan Datuk Seri Najib.

“Dia juga pernah berjuang bersama dengan Datuk Abu Bakar, jadi saya rasa dia akan tahu apa masalah Orang Asli. Mesra macam Arwah. Saya harap ia akan berterusan. Kita masyarakat di sini memang tetap dengan BN. Yang penting kita mahukan BN menang,” katanya.

Wakil Tok Batin Kampung Gumum itu juga berharap Mohd Sharim mengikut jejak langkah Allahyarham Abu Bakar yang sentiasa menjaga kebajikan mereka.

Begitu juga bagi Hayati Kuyu, 42, penggiat masyarakat menyokong penuh pemilihan Mohd Sharim sebagai calon BN.

“Kami harap YB (Yang Berhormat) yang baharu ini dapat menjalankan tanggungjawab terbaik walaupun YB kami yang sebelum ini memang banyak membantu masyarakat kami, selalu turun padang, bertanya memantau masalah-masalah dalam kampung.

“Tapi kalau boleh kami nak Sharim bakal YB kami akan menjadi lebih baik. Kami harap dia pun dan dapat mendengar apa keluhan kami, apa yang kami perlukan untuk menaik taraf kampung kami, memajukan kampung kami,” harapnya.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

Beliau juga pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.